Sukan dan Hiburan

Konsert kesenian Islam Sambut Tahun Baru 2006 Di Gombak

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Kawasan Gombak (DPPKG) akan menganjurkan konsert kesenian Islam pada malam sambutan tahun baru 2006 (31 Disember 2005) bermula jam 8.00 malam hingga 12.00 malam.

Menurut Pengarah Program, Mohammad Idris konsert yang akan membariskan kumpulan nasyid As Saufee sebagai penghibur pada malam tersebut akan diadakan di Dataran An Nur, Gombak.

Konsert alternatif itu diharapkan akan memberi satu kelainan kepada sambutan malam tahun baru 2006, katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi maklumat mengenai program anjuran DPPKG itu kepada Harakahdaily dalam pertemuan di Putrajaya semalam.

Sebagaimana yang diketahui umum, sebelum ini banyak pihak yang mengajurkan program-program liar bagi menghiasi sambutan malam tahun baru.

Akibatnya anak-anak muda dan golongan dewasa meraikan malam sambutan tahun baru dengan pesta maksiat serta hiburan luar batasan,katanya.

Ini mengundang kepada peningkatan masalah sosial yang seterusnya akan merugikan negara, katanya.

Atas inisiatif itu DPPKG mengambil pendekatan memberi hiburan alternatif ke arah membentuk peribadi dan sahsiah remaja serta masyarakat dan sambutan yang lebih bermakna, katanya.

DPPKG menjemput orang ramai terutamanya golongan muda meraikan konsert kesenian Islam sempena sambutan tahun baru 2006, katanya.

Galeri Sukan KSN Dirasmi

KOMPLEKS Sukan Negara (KSN) melangkah setapak lagi menerusi pembinaan galeri sukan KSN yang dilancarkan di Bukit Jalil semalam.

Galeri yang menelan belanja sebanyak RM198,000 mengimbas kembali detik kecemerlangan skuad negara selain detik-detik manis penganjuran temasya Sukan Komanwel 98 di Kuala Lumpur.

Pengerusi Perbadanan Stadium Merdeka (PSM) Datuk Ismail Sabri Yakob berkata selain dapat membudayakan sukan, pembinaan galeri itu bertujuan menyimpan sejarah sukan bagi tatapan generasi baru.

Menurutnya selain melawat galeri, pelawat turut berpeluang menonton tayangan video berkaitan pencapaian serta sejarah pembinaan KSN pada 1998.

“Galeri ini kita harapkan, selain pengunjung meninjau kawasan stadium, pengunjung juga boleh melawat galeri dan menambah pengetahuan mereka.

“Galeri sukan ini direka berdasarkan tujuh segmen utama yang membabitkan sejarah pembinaan dan perasmian KSN, organisasi PSM, acara-acara yang berlangsung di KSN, acara dalaman anjuran PSM, kemudahan dan venue KSN, Gemilang Sukan Komanwel 98 dan atlit kebangsaan,” katanya.

Pihaknya turut mempertimbangkan cadangan untuk membina replika piala berprestij seperti Piala Malaysia, Piala Merdeka dan Piala Thomas untuk dipamerkan kepada pengunjung.

Galeri itu akan beroperasi setiap hari pada waktu bekerja dan dibuka secara percuma kepada semua pengunjung.

Dalam pada itu, kecenderungan remaja masa kini meminati aktiviti sukan lasak memberi inspirasi kepada pihak pengurusan KSN membina kemudahan itu pada masa hadapan.

Menurut Sabri, pihaknya telah melakukan kajian terperinci untuk mengadakan pusat sukan lasak di atas tapak seluas 12 hektar. Malah dalam mesyuarat Lembaga KSN turut bersetuju membina litar bagi kegunaan sukan permotoran.

“Setakat ini kita sudah mempunyai gelanggang “paintball” dan dalam cadangan terbaru, kita merancang untuk membina gelanggang meluncur untuk permainan “skateboard”, katanya. (Harian Metro)

Apa sudah jadi dengan Selangor, Pahang dan Perlis?

Oleh: AMRAN MULUP (Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR - Itulah persoalan yang berlegar di benak fikiran peminat-peminat melihatkan aksi ketiga-tiga gergasi bola sepak itu langsung tidak bermaya.

Sesudah empat perlawanan Liga Super dilalui ketiga-tiga pasukan tampak tidak bermaya untuk meneruskan aksi.

Lebih mengejutkan juara Liga Super 2004, Pahang di bawah teraju jurulatih Zainal Abidin Hassan menjadi satu-satunya pasukan yang masih belum mengutip sebarang mata.

Kekalahan terbaru 0-2 kepada Perak di gelanggang sendiri meletakkan Pahang menghuni tangga terbawah liga.

Begitu juga dengan naib juara Piala Malaysia 2005, Perlis menduduki dua anak tangga terbawah liga selepas diaibkan oleh MPPJ yang menang 3-1 di stadium Petaling Jaya, kelmarin.

Perlis sekadar mengutip satu mata selepas seri 1-1 dengan Telekom dalam perlawanan pembukaan Liga Super 2005/2006.

Nasib yang serupa turut dialami oleh Selangor sesudah dinobatkan juara Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Liga, anak didik Dollah Salleh terus tenggelam menerima tiga kekalahan setakat ini.

Menggigit jari dikejutkan oleh MPPJ dengan kekalahan 2-1 Sabtu lepas, giliran Pulau Pinang menambah derita skuad Red Giants tunduk 1-3 di stadium Bandaraya.

Situasi tiga gergasi bola sepak itu kini menjadi perbualan hangat di kalangan peminat bola sepak.

Ketika tiga pasukan gergasi longlai, pasukan berstatus kelab MPPJ terus mencuri tumpuan.

Pasukan yang digelar `Chelsea Malaysia' itu terus mengganas dan kali ini Perlis pula menjadi mangsa apabila tewas 1-3 di Stadium Petaling Jaya, kelmarin.

Kemenangan ketiga milik MPPJ mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas Liga Super, dengan kelebihan satu mata mengatasi naib juara Piala FA musim lalu, Perak.

MPPJ kini selesa dengan 10 mata diikuti oleh Perak (9), Negeri Sembilan (9), Telekom (7), Pulau Pinang (4), Selangor (3), Perlis (1) dan Pahang (0).

Bagaimanapun sebuah lagi kelab iaitu Telekom hampa melepaskan kedudukan tangga kedua kepada Perak gara-gara kekalahan tipis 0-1 kepada Negeri Sembilan.

Pulau Pinang pula turut memperbaiki kedudukan dengan kemenangan bergaya 3-1 ke atas Selangor untuk berada di tangga kelima.

Ronaldinho Terbaik Dunia


ZURICH - Tonggak Brazil dan Barcelona, Ronaldinho meraih anugerah Pemain Terbaik Dunia buat kali kedua berturut-turut oleh badan induk bola sepak dunia, FIFA semalam.

Ronaldo merupakan pemain ketiga Brazil yang memenangi anugerah pemain terbaik dunia dan Eropah pada tahun yang sama selepas Ronaldo pada 1997 dan 2002 dan Rivaldo pada 1999.

Ronaldinho memperoleh 956 mata untuk selesa mengatasi pemain tengah Chelsea dari England, Frank Lampard (306) pada undian FIFA oleh jurulatih dan ketua pasukan pasukan bola sepak kebangsaan di seluruh dunia.

Rakan sepasukan Ronaldinho dalam Barcelona, Samuel Eto'o dari Cameroon ketiga dengan 190 mata.

``Saya mengucapkan terima kasih kepada semua rakan sepasukan kelab dan kebangsaan kerana tanpa mereka saya tidak berada di sini,'' kata Ronaldinho pada majlis Gala FIFA yang diadakan di Zurich.

``Saya hanya mahu membuat orang gembira dan berharap dapat berada di sini lagi pada masa akan datang,'' katanya.

Ronaldinho, 25, turut memenangi anugerah Pemain Terbaik FIFPro tahun ini, yang dipilih oleh para pemain bola sepak profesional pada September.

Ronaldinho menikmati saat-saat kejayaan, membantu Barcelona merangkul kejuaraan Liga Primera Sepanyol dan tampil apabila Brazil mencipta kejayaan pada Piala Konfederasi.

Naib juara, Lampard akur dengan kekalahannya.

``Saya tidak kecewa. Bagi saya dia merupakan pemain paling menarik dan saya terhibur melihat aksinya,'' kata Lampard sambil menambah bahawa Ronaldinho layak menang.

Undian adalah berdasarkan keputusan 159 jurulatih dan ketua pasukan antarabangsa.

Lima mata diberikan kepada pemain di tempat pertama, tiga untuk tempat kedua dan satu untuk tempat ketiga.

Sementara itu, Birgit Prinz dari Jerman menewaskan saingan pemain Brazil, Marta dan Amerika Syarikat Shannon Boxx untuk memenangi anugerah bagi wanita buat kali ketiga berturut-turut.

Walaupun Ronaldo dan Zinedine Zidane dari Perancis memenangi anugerah kategori lelaki tiga kali, FIFA berkata, kejayaan Prinz mencatat sejarah apabila buat pertama kali pemain wanita mencipta hatrik.

Brazil dinamakan Pasukan Terbaik dan bandar di Peru, Iquitos diberikan anugerah Fair Play.

Komuniti Iquitos menjadi venue untuk kejohanan bola sepak Dunia Bawah 17 pada September dan Oktober.

Anugerah Presiden dimenangi bekas pengadil antarabangsa Sweden, Anders Frisk.

Frisk bersara Mac lalu setelah menerima ancaman selepas mengadili perlawanan kontroversi yang dimenangi Barcelona 2-1 ke atas Chelsea dalam Liga Juara-Juara, Februari lalu. - Reuters

Impian Liverpool Kian Hampir Jadi Kenyataan

YOKOHAMA: Juara Eropah, Liverpool semakin hampir untuk merangkul satu-satunya kejuaraan yang belum dikecapi dalam sejarah penuh gemilang kelab itu dengan hanya juara Amerika Selatan, Sao Paulo menjadi penghalang terakhir mereka.

Pasukan Merseyside itu yang dirangsang berikutan lapan kemenangan berturut-turut dengan rekod kelab 11 perlawanan tanpa dibolosi kelihatan tidak berminat untuk melepaskan peluang apabila mereka bertarung pada final Kejohanan Kelab Dunia hari ini.

“Kami rasa tidak boleh dikalahkan ketika ini,” kata ketua pasukan Steven Gerrard tetapi menurutnya memenangi kejuaraan adalah pendorong bukannya mengejar rekod.

“Kami tidak mahu memecahkan rekod, kami mahu memenangi trofi dan kami yakin mampu mengalahkan Sao Paulo pada final esok (hari ini).”

Perlawanan itu pastinya menyedihkan buat pengurus Rafael Benitez, yang kematian bapanya Rabu lalu. Dia memutuskan untuk kekal di Jepun dan tafakur satu minit dijangka diadakan sebelum perlawanan bermula.

Penguasaan Liverpool dalam kemenangan 3-0 ke atas Deportivo Saprissa pada separuh akhir memberikan amaran keras buat Sao Paulo iaitu juara Eropah itu berada di puncak prestasi dan tidak terjejas dengan penerbangan panjang ke Jepun.

Bagaimanapun Sao Paulo percaya kehebatan sentuhan Brazil akan memberi kelebihan buat mereka sekali gus mampu menafikan Liverpool kejuaraan itu.

Pertahanan kanan Cicinho, yang dijangka berhijrah ke Real Madrid bulan depan, akur pasukannya perlu mempamerkan konsistensi di benteng pertahanan jika mereka tidak mahu dihukum oleh Gerrard, Peter Crouch dan rakan-rakannya.

“Saya rasa kunci kemenangan tertakluk kepada cara persembahan individu. Mereka menggunakan dua barisan empat pemain, manakala kami kekal dengan 3-5-2,” katanya.

“Pemain-pemain Liverpool lebih banyak menggerakkan bola ke serata tempat dan seringkali menghantar bola tinggi. Mereka sukar dibendung dalam perebutan di udara dan kami tidak boleh memberi mereka ruang.” – AFP

Chong Wei Juara GP Akhir

Oleh Lukman Salleh (Berita Harian)

LEE Chong Wei meneruskan penguasaan menakjubkannya dalam sirkit kebangsaan apabila menjulang kejuaraan keempat berturut-turut Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Akhir Kebangsaan menewaskan pemain veteran Wong Choong Hann 15-8, 15-6 dalam final di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, semalam.

Kemenangan mudah dalam tempoh 45 minit itu melebarkan rekod tanpa kalahnya dalam jelalah tempatan kepada tiga tahun sejak 2002 dan menobatkan Chong Wei selaku selaku raja sirkit kebangsaan serta mencipta rekod muncul pemain pertama meraih kejuaraan empat kali berturut-turut dalam sejarah kejohanan.

Menggabungkan smash kencang dan refleks menakjubkan, Chong Wei tidak berdepan masalah mengatasi Choong Hann untuk melebarkan rekod tanpa kalahnya ke atas bekas pemain nombor satu kebangsaan kepada empat perlawanan.

"Saya meletakkan sasaran tinggi dalam kejohanan ini dan gembira memenanginya gelaran buat kali keempat berturut-turut," kata Chong Wei, yang membawa pulang hadiah kemenangan RM7,000. "Saya dapat mengawal permainan dengan baik, menggunakan smash untuk memerangkap Choong Hann.

Kemenangan ini sekali gus menunjukkan jurang wujud antara Chong Wei dengan pemain kebangsaan lain - melainkan Hafiz Hashim - seperti Choong Hann, Roslin Hashim dan Kuan Beng Hong.

"Mungkin ada jurang sedikit antara saya dengan pemain kebangsaan yang lain tetapi masih ada Hafiz, pemain yang boleh memberikan cabaran kepada saya dan malang sekali dia tidak beraksi dalam kejohanan kali ini," kata Chong Wei.

Sementara Choong Hann mengakui Chong Wei sudah berhasil mencapai konsistensi dalam permainannya dan kejohanan tempatan dan antarabangsa dan sukar untuk menggugat atau menewaskan pemain itu.

"Dia bermain cukup baik dan begitu pantas," kata Choong Hann, yang meraih RM3,600 untuk naib juara.

Dalam beregu lelaki gandingan Lin Woon Fui-Mohd Fairuzizuan Tazari mengejutkan juara bertahan Chan Chong Ming-Koo Kien Keat 15-9, 15-11 untuk membawa pulang hadiah kemenangan RM11,000.

Dalam perseorangan wanita, Julia Wong dari Melaka mengejutkan juara bertahan Anita Raj Kaur dari Kuala Lumpur 11-2, 11-6 untuk membawa pulang hadiah kemenangan RM4,000 dan gelaran GP pertamanya.

Beregu wanita menyaksikan Ooi Sock Ai-Mooi Hing Yau dari Perak menang percuma ke atas juara bertahan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty selepas Eei Hui terpaksa menarik diri kerana demam.

Ansar saluran TV Islam pertama Malaysia

Oleh ABD. AZIZ ITAR

PERKEMBANGAN pesat dunia penyiaran di negara ini dapat dilihat dengan kemunculan pelbagai saluran televisyen (TV) yang kebanyakannya menyiarkan rancangan-rancangan berbentuk maklumat dan hiburan semata-mata.

Syarikat ICO Resources Sdn. Bhd. bagaimanapun menongkah arus apabila ia menubuhkan sebuah saluran TV berbayar tempatan pertama iaitu Ansar yang berkonsep dan bercirikan keislaman.

Menurut Pengarah Urusannya, Nazir Idris, ICO Resources memulakan inisiatif itu bagi merebut peluang mengembangkan lagi syiar Islam hasil kepesatan dunia penyiaran tempatan sejak kebelakangan ini.

"Kami rasa inilah masa yang sesuai untuk menyajikan kelainan kepada para penonton. Pada masa yang sama saluran seperti ini boleh memberi kefahaman yang luas kepada para penonton tentang gaya kehidupan Muslim.

"Ansar sama seperti program TV lain yang mempunyai segmen hiburan, remaja, filem, dokumentari dan sebagainya.

"Cuma bezanya ialah semua program kami berorientasikan ciri-ciri yang ada dalam kehidupan seharian orang Islam.

"Jika hiburan, ia mestilah yang bercirikan keislaman. Begitu juga dengan fesyen dan gaya kehidupan yang dipaparkan, ia tidak menyimpang daripada ajaran Islam.

"Secara tidak langsung penonton bukan Islam juga dapat melihat contoh-contoh baik agama Islam menerusi program-program yang kami siarkan,'' katanya sewaktu ditemui pada majlis Rumah Terbuka anjuran stesen TV MiTV dan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.

Saluran Ansar yang beroperasi 24 jam sehari mulai 5 September lalu disiarkan menerusi saluran kabel TV berbayar MiTV.

Menurut Nazir, sejak bersiaran tiga bulan lalu, Ansar banyak menayangkan produk-produk yang diterbitkan sendiri.

"Sebanyak 80 peratus program yang disiarkan menerusi saluran Ansar adalah program tempatan dan selebihnya merupakan program yang diimport.

"Pada tahun depan kami merancang mengimport 40 peratus program-program TV dari luar negara antaranya dari Iran, Arab Saudi dan Indonesia.

"Saya percaya program-program itu akan meluaskan lagi pengetahuan penonton tentang perkembangan yang berlaku di negara-negara Islam lain,'' ujar Nazir yang merupakan adik kepada anggota kumpulan Raihan, Che Amran.

Pada majlis itu MiTV, Ansar dan WHAM turut meraikan sekumpulan anak-anak yatim dari Pondok Penyayang Raudhah, Gombak, Selangor.

MiTV tidak ketinggalan menyumbangkan RM3,000 kepada WHAM bagi mengisi tabung kebajikan persatuan tersebut. Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi MiTV, Datuk Rosman Ridzwan kepada Presiden WHAM, Fauziah Rauf.

FIFA Perkenal Bola Baru Untuk Piala Dunia 2006


LEIPZIG (Jerman): Bola perlawanan untuk Piala Dunia Fifa 2006 secara rasminya diperkenalkan ketika majlis undian pusingan akhir berlangsung, awal pagi tadi.

Bola baru adidas Teamgeist memperkenalkan rekabentuk 14 lapisan yang mengurangkan jumlah titik sentuhan tiga lapisan sebanyak 60 peratus dan panjang keseluruhan garisan lapisan sebanyak 15 peratus, membentuk permukaan bulat dan licin yang menjelmakan peningkatan ketara kepada pemain dari segi ketepatan dan kawalan.

Bola rasmi ini direkabentuk menggunakan warna putih dan hitam mewakili bola sepak Jerman dan lorekan keemasan mewakili trofi Piala Dunia Fifa. Nama ‘Teamgeist’ adalah berdasarkan elemen terpenting perlu dimiliki setiap pasukan untuk menjulang trofi emas rebutan - semangat berpasukan!

Hanya bola dengan permukaan bulat dan licin yang sempurna bertindakbalas secara konsisten apabila disepak. Faktor terpenting kepada prestasi tiada bandingan bola rasmi ini ialah penciptaan 14 lapisan mengelilingi bola.

Rekabentuk 14 lapisan canggih itu mengurangkan jumlah titik sentuhan tiga lapisan sebanyak 60 peratus (daripada 60 kepada 24) dan panjang keseluruhan garisan lapisan sebanyak 15 peratus (daripada 40.05cm kepada 33.93cm).

Teknologi ‘Thermal Bonding’ yang berjaya diperkenalkan adidas pada 2004, terus disempurnakan untuk memberikan ‘Teamgeist’ kualiti prestasi yang tidak dimiliki bola lainnya.

Ujian menyeluruh yang dikendalikan di Universiti Loughborough di England dan di makmal bola sepak adidas di Scheinfeld, Jerman, menjelmakan bukti prestasi keseluruhan ‘Teamgeist’ yang belum pernah disaksikan. Bola ini diramalkan mampu mengatasi segala rekod penjualan dan akan mula dijual di seluruh dunia bermula hari ini.

Pengalaman dimiliki adidas dalam penghasilan bola jelas tiada tandingan. Adidas memulakan pengeluaran bola pada 1963 dan kini adalah pengeluar utama dunia, dengan watak pendahulu dalam pengaplikasian teknologi terkini. Adidas sudah membekalkan bola rasmi kepada semua kejohanan utama Fifa dan UEFA sejak 1970 dan akan juga menjadi Rakan Rasmi dan Penaja Bola Rasmi untuk Piala Dunia Fifa 2010 dan 2014.

Adidas akan terus memanfaatkan teknologi terkini bagi memantapkan kedudukan pendahulu dalam pasaran bola dunia, bagi memperkukuhkan lagi kedudukan adidas sebagai simbol rasmi kelengkapan berteknologi tinggi untuk pemain profesional mahupun amatur.

Nicole Nombor Satu Dunia

HONG KONG (Utusan Malaysia)- Ratu skuasy Malaysia, Nicol David melakar sejarah muncul pemain wanita Asia pertama menjuarai kejohanan dunia semalam, sekali gus memberikannya kejayaan berganda selepas turut merampas gelaran pemain nombor satu dunia, kelmarin.

Malah, Nicol, yang bangkit daripada ketinggalan ketika menewaskan pilihan pertama, Rachael Grinham dari Australia 8-10, 9-2, 9-6, 9-7 di Pusat Kebudayaan Hong Kong, semalam adalah antara juara dunia termuda dalam sejarah 29 tahun kejohanan. Nicol kini berusia 22 tahun, tiga bulan.

Ini merupakan kejayaan terbesar buat pemain kelahiran Pulau Pinang itu, yang mengejutkan juara dunia dan pemain nombor satu dunia, Vanessa Atkinson dari Belanda di separuh akhir.

"Bergelar juara dunia adalah satu penghormatan besar buat saya," kata Nicol, yang juga juara remaja dunia 1999 dan 2001.

"Saya kini sudah bersedia untuk menghadapi semua cabaran tahun depan dan harap akan menang lagi," katanya, yang bakal ditabalkan sebagai pemain nombor satu dunia secara rasmi pada 1 Januari, 2006.

Selain bergelar juara dunia dan pemain nombor satu dunia, Nicol juga merupakan pemenang kejohanan prestij, Terbuka Britain, Oktober lalu selain juara enam gelaran antarabangsa lain tahun ini - Sukan Dunia, Terbuka Kuwait, Terbuka Belanda, Terbuka Kuala Lumpur, Terbuka Malaysia dan Terbuka Carol Weymuller di New York.

Semalam Nicol, yang juga juara Asia tumpas 8-10 pada set pertama tetapi bangkit dengan permainan pantas dalam tiga set berikutnya untuk menang 8-10, 9-2, 9-6, 9-6 dalam masa 53 minit.

Kemenangan ke atas Grinham, bekas pemain nombor satu dunia membolehkan Nicol menyamakan rekod pertemuan kedua-dua pemain kepada 5-5 daripada 10 perlawanan.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan Nicol sebagai ahli sukan terbilang negara berikutan kejayaannya itu.

Perdana Menteri yang sangat berbangga dengan kejayaan itu, juga mahu ahli sukan negara lain dan rakyat Malaysia mencontohi kegigihan Nicol.

"Saya sangat berbangga dengan pencapaian Nicol yang memenangi Kejohanan Terbuka Dunia di Hong Kong yang sekali gus mengesahkan kedudukannya sebagai pemain nombor satu dunia.

"Persembahan cemerlangnya hari ini menjadikannya sebagai seorang ahli sukan yang terbilang.

"Ahli-ahli sukan lain dan rakyat Malaysia secara amnya, patut mencontohinya," kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said juga mengucapkan tahniah di atas kejayaan Nicol dan memberi jaminan akan terus membantu pemain itu dalam semua aspek.

"Kita yakin kejayaan Nicol ini akan mendorong atlet kita untuk mencapai tahap dunia," katanya.

Persatuan Raket Skuasy Malay-sia (SRAM) akan mengadakan sambutan besar-besaran untuk menyambut kepulangan Nicol yang dijadual tiba di tanah air hari ini.

13 Pingat Emas Lagi Untuk Menepati Sasaran

Daripada Jaiarajo Letchumanan

MANILA, 3 Dis (Bernama) - Angka 13 mungkin tidak bernasib bagi seseorang tetapi bagi kontinjen Malaysia pula, angka tersebut merupakan jumlah pingat emas yang diperlukan bagi memenuhi sasaran 55 pingat emas pada Sukan SEA ke-23 Manila di sini.

Kontinjen Malaysia mengumpul lapan pingat emas hariJumaat, menjadikan jumlah pungutan kepada 42, iaitu kurang satu emas berbanding Sukan SEA di Vietnam dua tahun lepas dan tinggal dua hari untuk menutup tirai buruan emas.

Malaysia memulakan buruan emas hari Jumaat dengan penembak negara merangkul dua emas dalam acara 25m rapid fire pistol lelaki dan 50m rifle prone wanita.

Regu sepak takraw pula menebus maruah negara dengan menyumbang emas selepas 12 tahun kempunan di Cebu, pasukan gimrama wanita turut meraih emas bersama pelumba basikal dua emas manakala pemain boling pula turut menggondol dua emas.

Bagaimanapun kekecewaan jelas terbayang di kolam renang apabila perenang negara gagal meraih sebarang pingat daripada 34 pingat emas yang ditawarkan.

Pencapaian lapan emas, empat perak dan 13 gangsa membawa pungutan Malaysia kepada jumlah 42 emas, 31 perak dan 46 gangsa, masih tidak mengubah kedudukan negara di belakang Filipina, Vietnam dan Thailand.

"13 emas akan membolehkan kita mencapai sasaran tetapi kami mengharapkan lebih banyak lagi," kata timbalan ketua kontinjen Ahmad Shapwai Ismail.

Hari Sabtu, sejumlah 45 pingat emas akan dipertandingkan dan Malaysia akan beradu nasib dalam dua acara final sukan badminton, renang, memanah, berbasikal, menembak, gimnastik berirama dan judo.

SENARAI PEMENANG PINGAT NEGARA HARI JUMAAT

EMAS

-------

1. Mohamad Normanizan Ahmad, Mohd Putra Abdul Ghani, Mohd Zulkarnain Arif -- Sepak takraw (Regu)

2. Hasli Izwan Amir Hasan -- Menembak (25m Rapid Fire Pistol)

3. Noor Azian Alias -- Berbasikal (99.3km lepas beramai-ramai)

4. Nor Suryani Mohamed Taibi -- Menembak (50m rifle prone)

5. Suhardi Hassan -- Berbasikal (177km lepas beramai-ramai)

6. Pasukan Wanita -- Boling

7. Pasukan Lelaki -- Boling

8. Pasukan Wanita -- Gimrama

PERAK

--------

1. Quizer Ambak, Qabil Ambak, Lea Tan, Syed Omar Al-Mohdzar -- Ekuestrian (pasukan lelaki)

2. Cheong Yew Kwan -- Menembak (skeet individu)

3. Pasukan Lelaki -- Menembak (skeet trio)

4. Loh Yeong Shang -- Triathlon (lelaki)

GANGSA

----------

1. Habizan Othman -- Pencak silat (silat seni)

2. Teh Chee Fei -- Menembak (skeet individu)

3. Noor Baizura Zainon -- Judo (48-52kg)

4. Tan Chee Keong -- Judo (81-90kg)

5. Chong Wei Keat -- Judo (73-81kg)

6. Paunandeas Paulus -- Tinju (light welterweight 64kg)

7. Zamzai Azizi Mohamad -- Tinju (light flyweight 48kg)

8. Muhd Shakirin Ibrahim/Beh Lee Wei -- Ping Pong (beregu campuran)

9. Lee Chong Wei -- Badminton (perseorangan)

10. Hafiz Hashim -- Badminton (perseorangan)

11. Chan Chong Ming/Koo Kien Keat -- Badminton (beregu)

12. Wong Choong Hann/Choong Tan Fook -- Badminton (beregu)

13. Koo Kien Keat/Wong Pei Tty -- Badminton (beregu campuran)