Sukan dan Hiburan

Galeri Sukan KSN Dirasmi

KOMPLEKS Sukan Negara (KSN) melangkah setapak lagi menerusi pembinaan galeri sukan KSN yang dilancarkan di Bukit Jalil semalam.

Galeri yang menelan belanja sebanyak RM198,000 mengimbas kembali detik kecemerlangan skuad negara selain detik-detik manis penganjuran temasya Sukan Komanwel 98 di Kuala Lumpur.

Pengerusi Perbadanan Stadium Merdeka (PSM) Datuk Ismail Sabri Yakob berkata selain dapat membudayakan sukan, pembinaan galeri itu bertujuan menyimpan sejarah sukan bagi tatapan generasi baru.

Menurutnya selain melawat galeri, pelawat turut berpeluang menonton tayangan video berkaitan pencapaian serta sejarah pembinaan KSN pada 1998.

“Galeri ini kita harapkan, selain pengunjung meninjau kawasan stadium, pengunjung juga boleh melawat galeri dan menambah pengetahuan mereka.

“Galeri sukan ini direka berdasarkan tujuh segmen utama yang membabitkan sejarah pembinaan dan perasmian KSN, organisasi PSM, acara-acara yang berlangsung di KSN, acara dalaman anjuran PSM, kemudahan dan venue KSN, Gemilang Sukan Komanwel 98 dan atlit kebangsaan,” katanya.

Pihaknya turut mempertimbangkan cadangan untuk membina replika piala berprestij seperti Piala Malaysia, Piala Merdeka dan Piala Thomas untuk dipamerkan kepada pengunjung.

Galeri itu akan beroperasi setiap hari pada waktu bekerja dan dibuka secara percuma kepada semua pengunjung.

Dalam pada itu, kecenderungan remaja masa kini meminati aktiviti sukan lasak memberi inspirasi kepada pihak pengurusan KSN membina kemudahan itu pada masa hadapan.

Menurut Sabri, pihaknya telah melakukan kajian terperinci untuk mengadakan pusat sukan lasak di atas tapak seluas 12 hektar. Malah dalam mesyuarat Lembaga KSN turut bersetuju membina litar bagi kegunaan sukan permotoran.

“Setakat ini kita sudah mempunyai gelanggang “paintball” dan dalam cadangan terbaru, kita merancang untuk membina gelanggang meluncur untuk permainan “skateboard”, katanya. (Harian Metro)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home