Sukan dan Hiburan

Impian Liverpool Kian Hampir Jadi Kenyataan

YOKOHAMA: Juara Eropah, Liverpool semakin hampir untuk merangkul satu-satunya kejuaraan yang belum dikecapi dalam sejarah penuh gemilang kelab itu dengan hanya juara Amerika Selatan, Sao Paulo menjadi penghalang terakhir mereka.

Pasukan Merseyside itu yang dirangsang berikutan lapan kemenangan berturut-turut dengan rekod kelab 11 perlawanan tanpa dibolosi kelihatan tidak berminat untuk melepaskan peluang apabila mereka bertarung pada final Kejohanan Kelab Dunia hari ini.

“Kami rasa tidak boleh dikalahkan ketika ini,” kata ketua pasukan Steven Gerrard tetapi menurutnya memenangi kejuaraan adalah pendorong bukannya mengejar rekod.

“Kami tidak mahu memecahkan rekod, kami mahu memenangi trofi dan kami yakin mampu mengalahkan Sao Paulo pada final esok (hari ini).”

Perlawanan itu pastinya menyedihkan buat pengurus Rafael Benitez, yang kematian bapanya Rabu lalu. Dia memutuskan untuk kekal di Jepun dan tafakur satu minit dijangka diadakan sebelum perlawanan bermula.

Penguasaan Liverpool dalam kemenangan 3-0 ke atas Deportivo Saprissa pada separuh akhir memberikan amaran keras buat Sao Paulo iaitu juara Eropah itu berada di puncak prestasi dan tidak terjejas dengan penerbangan panjang ke Jepun.

Bagaimanapun Sao Paulo percaya kehebatan sentuhan Brazil akan memberi kelebihan buat mereka sekali gus mampu menafikan Liverpool kejuaraan itu.

Pertahanan kanan Cicinho, yang dijangka berhijrah ke Real Madrid bulan depan, akur pasukannya perlu mempamerkan konsistensi di benteng pertahanan jika mereka tidak mahu dihukum oleh Gerrard, Peter Crouch dan rakan-rakannya.

“Saya rasa kunci kemenangan tertakluk kepada cara persembahan individu. Mereka menggunakan dua barisan empat pemain, manakala kami kekal dengan 3-5-2,” katanya.

“Pemain-pemain Liverpool lebih banyak menggerakkan bola ke serata tempat dan seringkali menghantar bola tinggi. Mereka sukar dibendung dalam perebutan di udara dan kami tidak boleh memberi mereka ruang.” – AFP

0 Comments:

Post a Comment

<< Home