Sukan dan Hiburan

FIFA Perkenal Bola Baru Untuk Piala Dunia 2006


LEIPZIG (Jerman): Bola perlawanan untuk Piala Dunia Fifa 2006 secara rasminya diperkenalkan ketika majlis undian pusingan akhir berlangsung, awal pagi tadi.

Bola baru adidas Teamgeist memperkenalkan rekabentuk 14 lapisan yang mengurangkan jumlah titik sentuhan tiga lapisan sebanyak 60 peratus dan panjang keseluruhan garisan lapisan sebanyak 15 peratus, membentuk permukaan bulat dan licin yang menjelmakan peningkatan ketara kepada pemain dari segi ketepatan dan kawalan.

Bola rasmi ini direkabentuk menggunakan warna putih dan hitam mewakili bola sepak Jerman dan lorekan keemasan mewakili trofi Piala Dunia Fifa. Nama ‘Teamgeist’ adalah berdasarkan elemen terpenting perlu dimiliki setiap pasukan untuk menjulang trofi emas rebutan - semangat berpasukan!

Hanya bola dengan permukaan bulat dan licin yang sempurna bertindakbalas secara konsisten apabila disepak. Faktor terpenting kepada prestasi tiada bandingan bola rasmi ini ialah penciptaan 14 lapisan mengelilingi bola.

Rekabentuk 14 lapisan canggih itu mengurangkan jumlah titik sentuhan tiga lapisan sebanyak 60 peratus (daripada 60 kepada 24) dan panjang keseluruhan garisan lapisan sebanyak 15 peratus (daripada 40.05cm kepada 33.93cm).

Teknologi ‘Thermal Bonding’ yang berjaya diperkenalkan adidas pada 2004, terus disempurnakan untuk memberikan ‘Teamgeist’ kualiti prestasi yang tidak dimiliki bola lainnya.

Ujian menyeluruh yang dikendalikan di Universiti Loughborough di England dan di makmal bola sepak adidas di Scheinfeld, Jerman, menjelmakan bukti prestasi keseluruhan ‘Teamgeist’ yang belum pernah disaksikan. Bola ini diramalkan mampu mengatasi segala rekod penjualan dan akan mula dijual di seluruh dunia bermula hari ini.

Pengalaman dimiliki adidas dalam penghasilan bola jelas tiada tandingan. Adidas memulakan pengeluaran bola pada 1963 dan kini adalah pengeluar utama dunia, dengan watak pendahulu dalam pengaplikasian teknologi terkini. Adidas sudah membekalkan bola rasmi kepada semua kejohanan utama Fifa dan UEFA sejak 1970 dan akan juga menjadi Rakan Rasmi dan Penaja Bola Rasmi untuk Piala Dunia Fifa 2010 dan 2014.

Adidas akan terus memanfaatkan teknologi terkini bagi memantapkan kedudukan pendahulu dalam pasaran bola dunia, bagi memperkukuhkan lagi kedudukan adidas sebagai simbol rasmi kelengkapan berteknologi tinggi untuk pemain profesional mahupun amatur.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home