Sukan dan Hiburan

Nicole Nombor Satu Dunia

HONG KONG (Utusan Malaysia)- Ratu skuasy Malaysia, Nicol David melakar sejarah muncul pemain wanita Asia pertama menjuarai kejohanan dunia semalam, sekali gus memberikannya kejayaan berganda selepas turut merampas gelaran pemain nombor satu dunia, kelmarin.

Malah, Nicol, yang bangkit daripada ketinggalan ketika menewaskan pilihan pertama, Rachael Grinham dari Australia 8-10, 9-2, 9-6, 9-7 di Pusat Kebudayaan Hong Kong, semalam adalah antara juara dunia termuda dalam sejarah 29 tahun kejohanan. Nicol kini berusia 22 tahun, tiga bulan.

Ini merupakan kejayaan terbesar buat pemain kelahiran Pulau Pinang itu, yang mengejutkan juara dunia dan pemain nombor satu dunia, Vanessa Atkinson dari Belanda di separuh akhir.

"Bergelar juara dunia adalah satu penghormatan besar buat saya," kata Nicol, yang juga juara remaja dunia 1999 dan 2001.

"Saya kini sudah bersedia untuk menghadapi semua cabaran tahun depan dan harap akan menang lagi," katanya, yang bakal ditabalkan sebagai pemain nombor satu dunia secara rasmi pada 1 Januari, 2006.

Selain bergelar juara dunia dan pemain nombor satu dunia, Nicol juga merupakan pemenang kejohanan prestij, Terbuka Britain, Oktober lalu selain juara enam gelaran antarabangsa lain tahun ini - Sukan Dunia, Terbuka Kuwait, Terbuka Belanda, Terbuka Kuala Lumpur, Terbuka Malaysia dan Terbuka Carol Weymuller di New York.

Semalam Nicol, yang juga juara Asia tumpas 8-10 pada set pertama tetapi bangkit dengan permainan pantas dalam tiga set berikutnya untuk menang 8-10, 9-2, 9-6, 9-6 dalam masa 53 minit.

Kemenangan ke atas Grinham, bekas pemain nombor satu dunia membolehkan Nicol menyamakan rekod pertemuan kedua-dua pemain kepada 5-5 daripada 10 perlawanan.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan Nicol sebagai ahli sukan terbilang negara berikutan kejayaannya itu.

Perdana Menteri yang sangat berbangga dengan kejayaan itu, juga mahu ahli sukan negara lain dan rakyat Malaysia mencontohi kegigihan Nicol.

"Saya sangat berbangga dengan pencapaian Nicol yang memenangi Kejohanan Terbuka Dunia di Hong Kong yang sekali gus mengesahkan kedudukannya sebagai pemain nombor satu dunia.

"Persembahan cemerlangnya hari ini menjadikannya sebagai seorang ahli sukan yang terbilang.

"Ahli-ahli sukan lain dan rakyat Malaysia secara amnya, patut mencontohinya," kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said juga mengucapkan tahniah di atas kejayaan Nicol dan memberi jaminan akan terus membantu pemain itu dalam semua aspek.

"Kita yakin kejayaan Nicol ini akan mendorong atlet kita untuk mencapai tahap dunia," katanya.

Persatuan Raket Skuasy Malay-sia (SRAM) akan mengadakan sambutan besar-besaran untuk menyambut kepulangan Nicol yang dijadual tiba di tanah air hari ini.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home