Sukan dan Hiburan

Cari Gelanggang Baru

SHAH ALAM (Utusan Malaysia) - Stadium Shah Alam bakal berwajah baru tetapi di sebalik itu, juara Piala Malaysia, Selangor yang menyapu tiga kejuaraan musim ini terpaksa berkorban bermain di gelanggang lain selama enam bulan.

Datuk Bandar Shah Alam, Ramli Mahmud berkata, langkah berkenaan terpaksa diambil kerana Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersedia untuk membelanjakan sebanyak RM9.5 juta semata-mata untuk menjadikan stadium berkenaan segagah Stadium Nasional Bukit Jalil.

Beliau berkata, gelanggang keramat pasukan Merah Kuning itu bakal mempunyai rumput padang baru yang lebih moden bagi menggantikan rumput sedia ada yang sering berlopak-lopak dan kurang rata.

``Kita akan belanjakan sebanyak RM1.6 juta untuk menggantikan rumput sedia ada, bagaimanapun jenis rumputnya belum kita putuskan lagi, kemungkinan besar rumput yang sama jenis seperti Stadium Nasional Bukit Jalil yang kelihatan begitu moden dan rata.

``Padang rumput yang baru itu boleh menyerap air bertakung dan sistem pengairannya boleh membawa air bertakung dari padang ke kawasan lapang di luar stadium.

``Kawasan lapang luar stadium itu juga sebenarnya boleh digunakan untuk aktiviti rekreasi apabila sudah kering,'' katanya ketika ditemui Sukan Utusan di Shah Alam, semalam.

Ramli berkata, kerja-kerja menaik taraf padang rumput stadium berkenaan akan bermula bulan ini dan ia dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

Katanya, selain rumput berkualiti, pihak MBSA juga akan menggantikan lampu-lampu limpah yang telah rosak dengan kos sebanyak RM600,000.

``Setiap satu lampu limpah berharga kira-kira RM3,000 dan kita dapati sudah lebih 100 lampu limpah yang telah rosak, jadi kita akan ganti dengan yang baru.

``Sistem bunyi di stadium juga akan kita perbaiki, sejak ia mula dibina sampai sekarang memang tidak pernah ditukar malah sekarang kita terpaksa menyewa pula kerana sistem sedia ada sudah rosak.

``Untuk tujuan itu kita sediakan sebanyak RM1.2 juta supaya sistem bunyi di Stadium Shah Alam benar-benar mantap dan jelas,'' katanya.

Pada masa sama, katanya, segala kerosakan yang berlaku pada tempat duduk penonton dan bilik air akan diperbaiki supaya Stadium Shah Alam menjadi lebih menarik dan selesa untuk penyokong setia Red Giant.

Tidak cukup dengan itu, sebanyak RM2 juta lagi akan dibelanjakan untuk memperbaiki trek olahraga dan MBSA akan membenarkan orang awam menggunakannya apabila telah siap kelak.

``Kita boleh menaiktaraf dan memperbaiki stadium ini secara keseluruhan setelah mendapat pinjaman kewangan daripada Kerajaan Negeri yang begitu prihatin dengan keadaan di Stadium Shah Alam.

``Ia sebenarnya sebagai satu sokongan moral dan lambang status kegagahan Selangor yang bukan sahaja mempunyai pasukan bola sepak terkuat malah kemudahan stadium terbaik di negara ini,'' katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home