Sukan dan Hiburan

Chelsea Kembali Catat Kemenangan

LONDON - Pendahulu, Chelsea kembali menemui rentak kemenangan dalam aksi bola sepak Liga Perdana England selepas menumpaskan Blackburn Rovers 4-2 di gelanggang sendiri semalam.

Arsenal pula bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat seri 1-1 dengan saingan sekelab London, Tottenham Hotspur.

Selepas tersingkir daripada Piala Liga Rabu lepas, Chelsea mensia-siakan kelebihan dua gol ke atas Rovers sebelum rembatan Frank Lampard dan Joe Cole memberikan kemenangan kepada mereka untuk melebarkan jurang kepada sembilan mata di tangga teratas liga.

Pemain tengah Perancis, Robert Pires yang dikecam selepas insiden penalti pelik ketika menentang Manchester City minggu lepas, menjaringkan gol penyamaan Arsenal pada babak kedua untuk memadamkan gol pembukaan Spurs oleh Ledley King pada babak
pertama.

Keputusan itu meletakkan pasukan baru dalam liga, Wigan Athletic melonjak ke tangga kedua selepas gol pada penghujung aksi oleh pemain pertahanan Perancis, Pascal Chimbonda memberikan kemenangan 1-0 ke atas Fulham.

Penyandang juara, Chelsea kini mengumpul 31 mata daripada 11 perlawanan manakala Wigan dengan 22 mata. Spurs mengutip 20, berkongsi mata dengan Bolton Wanderers yang menang 1-0 di Charlton Athletic.

Arsenal di tempat ketujuh dengan 17 mata.

Everton berjaya menjarakkan diri dari tangga bawahan selepas menang 1-0 di birmingham, selain kemenangan turut ditempa oleh Liverpool dan Portsmouth.

Gol jaringan penyerang Ivory Coast, Didier Drogba dan Lampard menerusi penalti, meletakkan Chelsea di depan di Stamford Bridge. Tetapi penyerang Rovers, Craig Bellamy merapatkan kedudukan menerusi penalti dan kemudian mengambil kesempatan atas
kesilapan penjaga gol Chelsea, Petr Cech untuk menyamakan kedudukan 2-2 sehingga waktu rehat.

Bagaimanapun, rembatan Lampard dan Cole pada babak kedua mengesahkan kemenangan buat skuad juara itu. - Reuters

Mingguan Malaysia 30 Okt 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home