Sukan dan Hiburan

Cinta Sejati

CINTA bapa jaguh badminton negara, Allahyarham Datuk Sidek Abdullah Kamar, 69, kepada sukan itu berterusan sehingga akhir usianya apabila jenazahnya disembahyangkan di atas gelanggang badminton bersebelahan rumahnya di Banting, pagi semalam.
`
Sidek yang berjaya mengembangkan bakat anak-anaknya sehingga mampu mengharumkan nama negara di persada dunia, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, pada jam 2.25 pagi semalam.
`
Dia dimasukkan ke HTAR sejak 29 Julai lalu selepas mengalami kekejangan akibat penyakit kencing manis. Keadaannya menjadi lebih serius dan tidak sedarkan diri sejak dua minggu lalu.
`
Menurut anaknya, Jalani, ketika masih sedar, Sidek selalu bertanyakan perkembangan sukan badminton negara. “Malah ketika Hafiz Hashim menziarahinya dulu, dia bertanya mengapa Hafiz tidak pergi ke Indonesia (bagi menyertai pertandingan di sana).“Jika keadaan mengizinkan ayah juga selalu memberikan pandangan kepada saya atau Misbun mengenai persembahan pemain badminton negara,” katanya ketika ditemui di sini, selepas selesai pengebumian, semalam.
`
Ketika hayatnya, Sidek memang dikenali sebagai orang yang bertanggungjawab melahirkan keluarga badminton pertama negara dengan Misbun, Jalani, Razif, Rahman serta Rashid mengharumkan nama negara sepanjang kerjaya mereka.Antara detik paling menggembirakan Sidek sebelum ini adalah ketika skuad negara mengungguli Piala Thomas pada 1992 lalu. Ketika itu skuad negara turut diwakili pasangan beregu Razif-Jalani, Rashid bagi acara perseorangan sementara Rahman sebagai pemain simpanan.
`
Menurut Jalani, sebelum bapanya tidak sedarkan diri dulu, dia sempat bermaaf-maafan dan berpesan supaya hubungan kekeluargaan dipelihara dengan baik. “Dia mendakap tangan kami dan berpesan supaya tidak melupakannya dan memastikan keluarga bersatu,” katanya.
`
Ketika menghembuskan nafas terakhir di katilnya di HTAR semalam, seorang daripada anaknya, Shahrizan berada di sisinya. Kata Jalani, disebabkan bapanya ditempatkan di ICU, hanya seorang ahli keluarga dibenarkan menemaninya pada satu-satu masa.
`
“Tiga hari lalu doktor di HTAR ada memanggil bapa dan dia membuka matanya seketika. Itulah kali terakhir dia memberi reaksi.“Dengan segala apa yang kami lakukan selama ini untuk ayah, kehilangannya kini terasa juga,” katanya.
`
Sementara itu, Misbun berkata, pemergian bapanya itu membuatkan seluruh keluarganya begitu sayu berikutan Aidilfitri hanya akan disambut kira-kira dua minggu lagi.“Kami semua begitu sedih sekali apabila bapa meninggal dunia, tambahan pula hari raya akan tiba tidak lama lagi,” katanya.
`
Tetapi, katanya, dia menerima ketentuan Ilahi itu dengan reda dan akan sentiasa tabah menghadapinya. “Saya menerima kejadian ini kerana memahami bahawa Allah lebih sayangkannya. “Sebelum bapa meninggal dan ketika masih sedar, dia memberitahu kami supaya jangan susah hati dan sempat berpesan kepada kami semua,” katanya.Sidek meninggal dunia akibat masalah paru-paru, kegagalan buah pinggang, tekanan darah tinggi dan jangkitan virus pada otaknya.
`
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banting kira-kira jam 10 pagi semalam, bersebelahan kubur isterinya, Rukinah Sulaiman, yang meninggal dunia pada 30 Januari 2003 lalu.
`
Selain enam anak lelaki, Sidek mempunyai dua anak perempuan iaitu anak sulung, Rusitah dan Zamaliah, anak ketujuh. - Al-Abror Mohd Yusuf dan Kamarulzaman Pid
Harian Metro 18Oktober 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home