Sukan dan Hiburan

Kejutan Mirwana

LAGU Aku Tanpa CintaMu membawa tuah kepada kumpulan nasyid Mirwana dan Jay Jay apabila diangkat sebagai Lagu Nasyid Pilihan Anugerah Era 2005.
s
Alunan iramanya yang merdu, di samping bait-bait liriknya yang menangkap jiwa berjaya meletakkan Mirwana sebagai antara kumpulan nasyid paling popular masa kini.
s
Sesungguhnya kolaborasi mantap Mirwana dan Jay Jay berjaya membuka mata banyak pihak.
s
Ia turut menjadi batu loncatan kepada Mirwana yang dianggotai Muhammad Akmaluddin Samsudin, 25, Syed Muhammad Izzat Syed Mahdi, 25, Muhammad Hafiz Tamizi, 25, dan Mohd Hafiz Hamzah (Along), 25, untuk terus mencipta kejayaan dalam persada seni tanah air.
s
Masih terbayang di ruang mata, kumpulan ini pernah mengejutkan pencinta dunia seni tanah air apabila merangkul dua trofi dalam Anugerah Era 2004 bagi kategori Vokal Duo/Berkumpulan Pilihan dan Lagu Nasyid Pilihan (Hikmah Kembara).
s
Ramai tertanya-tanya bagaimana Mirwana berjaya menewaskan nama besar, sedangkan mereka masih hijau dalam industri seni negara.
s
Berikutan kejayaan luar biasa itu, kembara seni Mirwana mula mendapat perhatian. Lebih membanggakan, single kedua, Aku Tanpa CintaMu bersama Jay Jay mengukir sejarah tersendiri apabila menjadi kegilaan pelbagai lapisan masyarakat.
s
“Syukur, kehadiran kami mula mendapat perhatian selepas lagu Aku Tanpa CintaMu kerap diputarkan di radio. Bukan bermakna lagu Hikmah Kembara tidak bagus kerana sebelum ini lagu itu pernah meraih anugerah, namun impak Aku Tanpa CintaMu lebih terasa bahangnya.
s
“Tidak pernah terfikir lagu Aku Tanpa CintaMu akan mendapat sambutan sehangat ini. Sebenarnya, lagu ini dimuatkan dalam album pertama kami yang diterbitkan tahun lalu. Selepas setahun lebih album di pasaran, tiba-tiba lagu ini menjadi siulan ramai. Siapa sangka? Mungkin ini yang dikatakan rezeki.
s
“Kejayaan ini menyuntik semangat kami untuk menghasilkan karya lebih bermutu. Sesungguhnya perkembangan positif ini membuka lebih ruang kepada kami untuk terus mencipta nama, sekali gus mengukir kejayaan seperti mana kumpulan nasyid sedia ada,” kata Akmal yang bertugas sebagai pengurus produksi di sebuah syarikat swasta yang berpusat di Putrajaya.
s
Empat anak muda ini tidak menafikan kehadiran penyanyi tersohor, Jay Jay sebagai rakan duet antara faktor utama mengapa lagu itu diminati ramai.
s
Paduan suara yang serasi membuatkan lagu itu enak didengar, sekali gus meninggalkan kesan mendalam di hati pendengar.
s
“Ada juga suara sumbang mengatakan kami hanya menumpang populariti abang Jay Jay. Katalah apa saja yang mereka mahu. Hakikatnya, kehebatan lagu ini terletak pada kekuatan irama dan liriknya, selain paduan suara yang serasi. Jika suara tidak serasi, mustahil kami dapat menghasilkan produk baik.
s
“Secara peribadi, kami kagum dengan abang Jay Jay. Dia bukan saja penyanyi dan pemuzik yang hebat, malah guru yang baik. Biarpun lebih dua dekad bertapak dalam dunia seni suara, dia tidak pernah meninggi diri, jauh sekali memperkecilkan orang lain. Buktinya, biarpun kami masih baru, dia tidak menolak untuk bekerjasama dengan kami.
s
“Jika diberi peluang, kami ingin bekerjasama lagi dengan abang Jay Jay untuk album seterusnya. Sebagai orang baru, masih banyak perkara perlu kami pelajari daripadanya,” kata Izzat.
s
Sementara itu, Jay Jay yang popular dengan lagu Rindu Bayangan menegaskan, populariti lagu itu bukan terletak pada kekuatan namanya, sebaliknya kerana susunan muzik, lirik, melodi dan kolaborasinya yang bertepatan.
s
“Lagu ini sedap didengar dan ‘catchy’. Saya tidak menyangka lagu ini popular selepas hampir dua tahun ia dirakam. Sungguh luar biasa kerana sebelum ini ia dipandang sepi. Inilah yang dikatakan kuasa Tuhan.
s
“Satu lagi yang ingin saya tegaskan, usah pandang rendah pada Mirwana kerana mereka berbakat besar. Baru-baru ini, kami bergabung menyanyikan lagu Aku Tanpa CintaMu secara live buat pertama kalinya di program rakaman raya Dam Dam Dum Pagi Raya TV3. Dari situ saya dapat lihat mereka ada masa depan cerah dalam industri ini,” kata Jay Jay.
s
Penyanyi bersuara merdu itu juga gembira kerana berpeluang merakam lagu nasyid pop yang boleh mempelbagaikan lagi genre lagu dibawa sepanjang perjalanan seninya.
s
Kolaborasi bersama Mirwana dianggap bonus untuknya melengkapkan profil yang akan menjadi kebanggaannya pada hari tua nanti.
s
“Saya melihat tawaran berduet ini sebagai satu penghargaan dan pengiktirafan. Sebelum ini saya pernah membawa pelbagai genre lagu dan nasyid melengkapi profil saya. Apabila tua nanti saya boleh tersenyum melihat profil saya dan berkongsi pengalaman berharga ini dengan anak cucu.
s
“Tahun lalu saya berduet dengan Ning Baizura, Syura, Futri dan Mirwana. Ketika itu saya hanya fikirkan ia sebahagian daripada kerjaya dan tidak meletakkan apa-apa harapan. Pun begitu, kolaborasi bersama Mirwana nyata menjadi dan ia memberi kenangan cukup manis buat saya dan Mirwana,” kata Jay Jay yang sibuk dengan undangan menjayakan program raya sepanjang Ramadan.
s
Berikutan kejayaan ini, Mirwana menerima banyak undangan berduet dengan artis terkenal dan kumpulan nasyid. Peluang keemasan itu sememangnya dinanti kerana dengan cara itu mereka dapat memperluaskan lagi empayar Mirwana.
s
“Tawaran sebagai rakan duet memang banyak, tetapi setakat ini kami belum berani memberi kata putus. Dalam perkara ini kami harus mengambil kira pandangan dan kelulusan syarikat rakaman. Jika mereka memberi lampu hijau, kami akan teruskan projek ini,” kata Hafiz yang lebih mesra dengan panggilan Along.
s
Atas permintaan ramai, Universal Music turut menerbitkan album yang dipakej semula pertengahan bulan ini. Album ini memuatkan 11 lagu lama dan dua lagu baru berjudul Seruan Lima Waktu dan Cinta Yang Hadir.
s
Mengupas sejarah kewujudan Mirwana, mungkin ramai tidak tahu kumpulan ini sudah lama bertapak dalam aliran nasyid. Kumpulan ini ditubuhkan pada 1991 oleh penyanyi dan komposer terkenal, Yasin Sulaiman ketika menuntut di SMKA Maahad Hamidiah, Kajang.
s
Kumpulan nasyid ini bergerak aktif menghasilkan album yang dipasarkan secara tradisional di sekolah agama, IPTA dan IPTS seluruh negara.
s
Selepas Yasin menubuhkan Brothers, Mirwana diperturunkan ke generasi seterusnya dan berjaya bertahan sehingga generasi 13. Pun begitu, hanya generasi kelima yang dianggotai Akmal, Izzat, Along dan Hafiz memberanikan diri menongkah arus perdana.
s
“Ramai menyangka Mirwana kumpulan baru. Hakikatnya sudah 13 tahun kami aktif memperjuangkan lagu dakwah, tetapi ramai tidak menyedarinya kerana kami bergerak secara ‘underground’. Kewujudan Mirwana sebaris dengan kumpulan Raihan yang dulunya dikenali sebagai The Zikr, Nada Murni (Rabbani dan Hijjaz), Anugerah (Nowseeheart) dan All For Ummah (Saujana).
s
“Pun begitu, kami tidak bergerak secara komersial seperti mereka. Kami mendapat lebih pendedahan selepas diberi peluang menjadi penyanyi latar kumpulan Rabbani, Raihan, Yasin dan Hazami.
s
“Peluang Mirwana mencipta nama di arus perdana semakin cerah apabila diberi peluang merakam sebuah lagu yang dimuatkan dalam album kompilasi Junjungan Mulia pada 2001,” kata Akmal.
z
Pun begitu, laluan Mirwana untuk menurut jejak langkah rakan seperjuangan tidak semudah disangka.Tidak banyak syarikat rakaman dan pengedar berani mengambil risiko menerbitkan album Mirwana yang berkonsep nu-nasyid kerana bimbang tidak mendapat sambutan.Pun begitu, usaha keras empat anak muda yang tidak pernah kenal erti putus asa ini akhirnya membuahkan hasil apabila kehadiran mereka disambut baik oleh Universal Music.
z
“Kami terpaksa bersabar selama empat tahun untuk merealisasikan impian merakamkan album. Biarpun penantian panjang, kami tidak pernah menyerah kalah. Kami yakin dengan bakat kami. Syukur, berkat kesabaran, Mirwana kini mendapat tempat di hati peminat,” kata Hafiz, penuntut Ijazah Teknologi Maklumat, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Bangi. - SHAKILAWATI ABD RAHMAN ( shakilawati@hmetro.com.my )
Metro Ahad 16 Oktober 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home