Sukan dan Hiburan

Indonesia batal lawan Denmark

JAKARTA: Pegawai badminton Indonesia semalam membatalkan perlawanan persahabatan mereka dengan Denmark dengan alasan negara itu tidak dapat menjamin keselamatan pemain berikutan kemarahan rakyatnya terhadap kartun Nabi Muhammad yang disiarkan sebuah akhbar Denmark.

Pengarah Perhubungan Luar Negara Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI), Sulisiyanto berkata perlawanan perseorangan dan beregu lelaki itu dijangka berlangsung 14 Mac ini sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi Piala Thomas yang akan dilangsungkan di Jepun, Mei ini.

“Kami membuat keputusan perlawanan itu dibatalkan kerana bimbang masalah keselamatan berikutan bantahan terbaru membabitkan kartun Nabi Muhammad,” katanya.

Minggu ini, Denmark menggesa rakyatnya di Indonesia supaya meninggalkan negara itu selepas beberapa hari tunjuk perasaan berlangsung.

Dalam satu kejadian, penunjuk perasaan membaling batu yang mengenai seorang pegawai diplomatik Denmark.

Begitupun, tunjuk perasaan itu dianggap kecil dan aman berbanding dengan bantahan yang biasa berlaku di Indonesia.

Kartun itu - termasuk satu yang menunjukkan Nabi Muhammad memakai serban berbentuk bom - menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia kerana Islam melarang sebarang bentuk ilustrasi Nabi Muhammad kerana bimbang ia akan menjurus kepada menjadikannya sebagai idola. - Agensi

Siapa bakal Kickstart?

Oleh: JAMLIAH ABDULLAH (Utusan Malaysia)

SETELAH hampir empat bulan berjuang di program televisyen realiti Nescafe Kickstart, impian untuk memulakan kerjaya idaman siapa yang bakal menjadi kenyataan?

Mungkinkah Keijon, 20, iaitu bakal doktor yang ingin menjadi pencipta alat yang boleh merekod, menyimpan dan mengemas kini sejarah kesihatan individu? Ataupun Haryati, 22, yang sejak kecil bercita-cita ingin menjadi penerbit manga Malaysia berwawasan.

Tetapi Francis, 23, yang ingin memulakan satu program mata ganjaran untuk mengitar semula bahan buangan juga menaruh harapan tinggi untuk menang.

Tidak ketinggalan Shafiq, 20, yang ingin menjadi seorang pemandu lumba pecut Malaysia.

Debaran empat finalis yang mampu bertahan itu memang semakin kencang hingga menjelang 5 Februari ini ketika acara Finale Nescafe Kickstart berlangsung.

Keempat-empat finalis itu sebelum ini menerima wang tunai RM30,000 di samping hadiah sumbangan penaja bagi tugasan terakhir mereka.

Mereka perlu menyiapkan cabaran terakhir itu dalam tempoh yang terhad menjelang tarikh yang bakal merobah nasib salah seorang daripada mereka. Tiga daripada finalis itu singgah di pejabat Pancaindera baru-baru ini dan bercerita tentang pengalaman masing-masing.

Itu saatnya yang paling mencabar dan finalis mengakui sudah melakukan dengan baik.

“Ia memang menguji fizikal dan mental sepanjang tempoh itu. Tetapi saya percaya saya sudah melakukan yang terbaik,” kata Keijon atau nama sebenarnya Chong Chern Hao dari Bidor, Perak.

Pelajar jurusan perubatan dari Universiti Malaya itu sebelum ini bertungkus-lumus menyiapkan tugasan terakhir berkaitan dengan alat merekod data kesihatan peribadi yang dinamakan MyLife dan mempromosinya.

“Apa yang paling sukar adalah untuk menyuarakan idea anda dan menjadikan ia realiti. Saya gembira kerana ada yang mengambil perhatian,” kata Keijon.

Cabaran bagi Francis pula yang bergelar Mr. Environment, tentunya mempromosikan ideanya iaitu menggalakkan orang ramai mengitar semula barangan terpakai dan menghulurkan ganjaran.

“Saya masih meneruskan usaha itu dari sekolah ke sekolah dan memberikan syarahan tentang kepentingan mengitar semula,” kata Francis atau Yong Fah Guok, pelajar Universiti Multimedia Malaysia.

Secara tidak langsung finalis terbabit sudah berjaya melaksanakan tugasan mereka dengan baik apabila apa yang diusahakan mendapat perhatian orang ramai.

“Sangat menggembirakan apabila 800 daripada 1,000 naskhah komik manga yang kami cetak berjaya terjual,” kata Haryati Mohd. Ehsan yang menerbitkan majalah komik Crest.

Begitu juga dengan Keijon yang berjaya mempromosikan MyLife kepada pelanggan yang terdiri daripada pesakit. Harapan untuk menang tentu menggunung.

“Apa yang saya usaha bukan bersifat keuntungan semata-mata tetapi juga untuk keperluan umum,” kata Francis.

Bagi Keijon yang pernah menderita penyakit asma yang teruk ketika kecil berharap idea tentang MyLife akan menjadi kenyataan.

“Saya harap untuk menang kerana ia akan mempercepatkan usaha saya bagi mencipta MyLife dan memberi kemudahan kepada orang ramai,” katanya.

Begitu juga dengan Haryati pelajar jurusan grafik dari UiTM kerana cita-cita bukan menerbitkan komik yang sembarangan tetapi berkualiti. Menang atau tidak itu keputusan di tangan juri dan penonton.

Apa pun, pengalaman menyertai pro-

gram tersebut sebenarnya sudah membuka ruang yang cukup luas bagi finalis terbabit. Selain daripada menimba pengetahuan ia juga meningkatkan keyakinan masing-masing dalam meneruskan apa yang dicita.

Dalam erti kata lain membentuk jati diri masing-masing. Nescafe Kickstart yang ke udara di TV3 setiap Ahad pukul 11 pagi ada-

lah sebuah rancangan untuk merealisasikan impian.

Finalis yang berjaya kelak akan memenangi hadiah utama yang berupa wang tunai dan hadiah-hadiah tajaan bernilai RM150,000 untuk memulakan kerjaya yang diimpikan.

Musim kedua program tersebut dilancarkan pada bulan Jun tahun lepas dengan matlamat untuk memberi peluang kepada muda-mudi yang berusia antara 18 hingga 25 tahun membina kerjaya mereka.

Sejak berlabuh di kaca televisyen pada 2004, program ini meraih perhatian ramai terutama di kalangan anak-anak muda yang berwawasan dan bercita-cita tinggi.

Pada musim baru, daripada 13,000 penyertaan yang diterima, hanya 300 kerjaya impian yang dipilih untuk menghadiri sesi uji bakat.

Kerjaya-kerjaya berkenaan bukan sahaja pelbagai tetapi sungguh berbeza, daripada pemerhati fesyen, ikan duyung, wanita luar biasa, perintis kepada penjugel devil stick profesional.

Pemilihan peserta telah dibuat berdasarkan keunikan kerjaya impian mereka, kegigihan untuk mencapainya dan sejauh manakah persediaan yang telah dibuat untuk merealisasikannya.

Daripada 12 finalis kini tinggal empat yang bertarung ke peringkat akhir. Nasib mereka bukan saja ditentukan dengan undian penonton saja tetapi juri profesional yang terdiri daripada Peter Ong (peguam yang beralih menjadi penyanyi opera); Juita Abdul Jalil (seorang pengurus artis dan pengendali acara), Chin Weng Keong (pengusaha) dan Sharifah Armani (pelakon remaja yang pernah memenangi anugerah lakonan).

Undian melalui SMS akan diteruskan sehingga acara finale yang akan disiarkan secara langsung pada minggu depan bagi menentukan pemenang.

Filem Rock - Penghormatan Buat Lagenda Rockers Kapak


Terdapat beberapa elemen kritis dalam filem arahan Mamat Khalid, 43 yang mengembalikan fenomena muzik rock di era 1980-an menerusi filem terbarunya berjudul Rock.

Nama-nama kumpulan rock pada masa itu juga tidak kurang hebat sehingga pada waktu sekarang menampakkan mereka sebagai Black Metal. Sehingga sekarang masih lagi tertanya-tanya samada kewujudan Black Metal itu benar atau sengaja diadakan-adakan untuk mengaburi fikiran rakyat?

Kumpulan Zul Kapan dan The Malaikat Maut adalah kumpulan yang memberi persaingan hebat kepada kumpulan-kumpulan yang bertanding dalam Battle of the Bands.

Rockers pada masa itu juga mempunyai imej mereka tersendiri dengan berseluar PVC, baju glamrock dan kasut Aliph. Seluar sendat sehingga sukar pemakai itu untuk bergerak menjadi bahan perbincangan beberapa pihak yang kononnya mengaku intelek sehingga ada yang berpendapat si pemakai mempunyai risiko untuk mandul.

Rockers di filem itu juga sering berkesempitan sumber kewangan sehingga terpaksa menggunakan akal untuk mendapatkan semuanya itu termasuklah menggunting kain pembalut kerusi penumpang bas untuk mendapatkan bekalan PVC yang mencukupi.

Watak utama filem ini ialah Zubir, atau lebih diminta dikenali sebagai Zack sebagai pemain gitar (Hasnul Rahmat), Jijo – gitar bass oleh Khir Rahman, Black – pemain dram (Azmi Bahrom), Amy - vokalis dan kadang-kadang bermain tamborine (Que Haidar) dan Zul Kapan – vokalis kedua (Sofi Jikan).

Mereka semuanya mengharungi pelbagai peristiwa yang mencabar dan penuh lucu demi mengejar cita-cita mereka untuk menjadi kumpulan rock (Rimba Bara) yang mantap dan berwawasan. Wawasan mereka semakin tidak dapat dibendung lagi apabila mengetahui bahawa acara Battle of The Band akan diadakan ditempat mereka.

Cita-cita Zack melalui liku apabila ayahnya mengkehendakinya menghadiri temuduga untuk bekerja di pejabat pos memandangkan sudah begitu lama Zack menganggur.

Apa yang dapat dikais daripada penayangan filem Rock ini ialah lawak rockers-rockers itu. Sungguhpun penampilan mereka mungkin menurunkan taraf 'rockers kapak' tetapi tidak sebagai satu kejian.

Lawak bersahaja itu menjadi bahan gelak penonton - bukan seperti lawak pengarah Prof Mad yang cuba sedaya-upaya menghasilkan skrip lawak tetapi gagal.

Dalam acara saringan, kumpulan-kumpulan yang bertanding bersungguh-sungguh menunjukkan persembahan terbaik di hadapan pengadil yang terdiri daripada Ramli Sarip, Amy Search, Man Kidal dan Ali Bakar.

Penonton Battle of the Bands itu terpukau dengan persembahan Rimba Bara apabila gitar solo berasap dan kotak speaker meletup. Kesungguhan tersebut membawa mereka juara peringkat daerah!

Nasir Jani juga dijemput untuk memainkan watak kecil dalam filem tersebut di mana beliau terpaksa berlakon watak yang amat bertentangan dengan watak sebenarnya; Nasir terpaksa memainkan watak kakitangan kerajaan 'skema' pak turut yang tidak berwawasan dan cintakan kerajaan (dan kronisme - P)

Sebelum memulakan penggambaran filem tersebut, pengarah Mamat memebritahu bahawa dia terpaksa melakukan pelbagai kajian selain menyelitkan pengalamannya sendiri.

Bagi tujuan promosi, Rock dimuatkan dengan tiga lagu khusus untuk filem tersebut iaitu Satu Tika Dulu, Kathy dan Zack dan Sentuhan Kidal.

Kos pembikinan filem itu ialah RM1.4 juta dan diterbitkan oleh Grand Brilliance Sdn Bhd. Ia mula ditayangkan di pawagam serata negara mulai 8 Disember.

http://faisalmustaffa.blogspot.com/

Perlis, Kedah panaskan pusingan pertama Piala FA

Oleh Hamdan Saaid (Berita Harian)

PERTEMBUNGAN dua negeri berjiran Perlis dan Kedah bakal mewarnai pusingan pertama bola sepak Piala FA yang akan bermula awal bulan depan pada ketika pasukan pilihan lain termasuk juara bertahan Selangor mendapat undian agak mudah.

Selain Perlis-Kedah, pertarungan di antara dua bekas juara Perak dan Kuala Lumpur serta Terengganu-Johor FC adalah antara perlawanan ‘heavyweight’ yang mampu menarik minat penyokong membanjiri stadium dalam musim yang menyaksikan kehadiran pasukan jemputan, skuad bawah 23 Tahun Singapura.

Singapura B-23 yang dilatih bekas bintang Kuala Lumpur dan Pahang, Fandi Ahmad akan bertemu Shahzan Muda di Kuantan pada perlawanan pertama 12 Februari dan perlawanan kedua di kota Singa pada 19 Februari.

Namun itulah satu-satunya perlawanan yang terpaksa diubah tarikh ke hari lain di atas permintaan Fandi kerana pembabitan pemain B-23 bersama pasukan kebangsaan Singapura yang bersiap sedia menghadapi Pusingan Kelayakan Piala Asia 2007. Perlawanan lain akan berlangsung pada 8 dan 15 Februari.

Daripada 16 perlawanan pusingan pertama, hanya tiga perlawanan menemukan pasukan negeri manakala selebihnya di antara pasukan negeri dengan kelab atau kelab dengan kelab.

Selangor tidak perlu pergi jauh kerana diundi bertemu pasukan kelab senegeri MPSJ Selangor, begitu juga MPPJ Selangor yang berdepan Plus KL, Pahang menentang Kesas KL, pendahulu Liga Super Negeri Sembilan bertemu SAJ Johor, Melaka dipadankan dengan NTFA Pulau Pinang manakala Sarawak bertemu Proton Selangor.

“Undian ini adil secara amnya. Namun bertemu Kedah dalam pusingan pertama bukanlah sesuatu yang mudah. Mereka punya kelebihan sendiri manakala kami perlu menggunakan setiap kesempatan untuk berakhir sebagai pemenang.

“Perlawanan ini bagus terutamanya dari segi tarikan penonton. Saya percaya penonton akan memenuhi kedua-dua stadium kerana sejarah tradisi pertembungan kedua-dua negeri yang selalunya sengit. Siapa yang beraksi baik dan menggunakan peluang dialah yang akan mara,” kata pengurus Perlis, Adzmi Saad selepas undian pertandingan itu di Wisma FAM, semalam.

Hanya Piala FA yang belum berada di dalam genggaman pasukan bergelar Singa Utara itu sekalipun hampir berjaya pada 2003 sebelum tunduk 2-1 di tangan Negeri Sembilan pada saingan final.

Perak, juara dua kali, kali terakhir dua tahun lalu, pula terpaksa membuat perhitungan dengan juara tiga kali Kuala Lumpur sekalipun pasukan Liga Super itu mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri terlebih dahulu pada 8 Februari.

Afdlin bijak buai emosi penonton

SAMBUNGAN daripada filem Buli; Roy (Hans Isaac) dikejarkan ke hospital dengan ditemani Nordin (Afdlin Shauki). Menurut Dr Ika (Nasha Aziz), Roy tiada harapan untuk hidup. Sementara itu, Rudy (A C Mizal) yang cuba melarikan diri berjaya ditahan polis di pintu masuk Bukit Aman.

Enam bulan berlalu, Nordin masih menjalani kelas terapi bersama Dr Kam bagi memulihkan keyakinan dirinya.

Ramai pesakit kagum dengan perubahan Nordin dan menjadikannya sebagai sumber inspirasi. Satu hari, Nordin terkejut apabila terserempak dengan Roy di hospital. Dia tidak percaya Roy masih hidup.

Dr Selina (Umie Aida) menjelaskan, walaupun Roy hampir pulih, dia hilang ingatan. Roy hanya dapat dipulihkan dengan bantuan seseorang yang mengenalinya sejak kecil dan Nordin calon terbaik.

Rudy yang ditahan di penjara cukup menggemari rancangan TV, Siapa Salah Kena Karan. Dendamnya membara apabila dapat mengecam wajah Nordin yang menyertai pertandingan itu. Dia berjaya melarikan diri dan bertekad menghapuskan Roy kerana Roy yang menyebabkan dia dipenjarakan. Sebagai permulaan, dia menjejaki Nordin di pejabat Michaelsoft.

Tahniah saya ucapkan kepada Afdlin kerana kembali dengan buah tangan yang sungguh menghiburkan. Selari dengan harapan penonton, sekuel Buli ini tidak menghampakan, malah ia memberi kepuasan maksimum meskipun berakhir dengan kejutan luar dugaan.

Kehebatan Buli Balik bukan saja terletak pada jalan cerita, teknik penggambaran dan lawaknya yang bersahaja, malah pujian harus diberikan kepada keberkesanan lakonan setiap karektor. Garapan kekuatan ini membuatkan karya Afdlin lain daripada yang lain.

Buli Balik adalah penyudah dan pelengkap Buli. Menerusi filem ini Afdlin ingin membawa penonton mengembara kehidupan Nordin dan sejarah silam Roy. Rahsia mengapa Nordin mendendami Roy dan bagaimana Roy boleh bersikap ganas di sekolah disingkap satu persatu.

Hakikatnya, Roy bukan dilahirkan sebagai pembuli, namun disebabkan tertekan dengan sikap bapanya yang kaki pukul, anak muda ini melepaskan geram di sekolah. Seorang mangsanya ialah Nordin yang bertubuh gempal.

Afdlin bijak bermain dengan emosi penonton. Dalam pada ketawa, hati penonton pasti tersentuh melihat kepatuhan Roy menurut arahan Nordin yang dianggap kawan baiknya. Walhal, Nordin sebenarnya masih menganggapnya sebagai musuh dan berniat membalas dendam dengan membuli semula Roy.

Begitu juga dengan rahsia zaman kanak-kanak Roy dan Nordin, malah tidak mustahil ada yang mengalirkan air mata dengan kejutan Afdlin pada hujung cerita.

Afdlin tidak ketinggalan menyuntik nilai positif dalam setiap karyanya. Kali ini dia mengingatkan penonton supaya sentiasa bersikap baik dan memaafkan kesilapan orang lain. Jangan sesekali mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain, walaupun orang itu pernah melukakan hati kita.

Nasihat itu disampaikan menerusi watak Nordin yang berhasrat membalas balik perbuatan Roy, namun pada satu tahap dia sedar semua itu hanya merugikan diri sendiri.

Kepada peminat setia filem komedi, khususnya karya Afdlin, jangan ketinggalan menonton filem ini. Tidak rugi anda membeli tiket kerana ia benar-benar berbaloi.

Metro Ahad (14 Jan 2006)

14 atlet OKU negara beraksi di Melbourne

KUALA LUMPUR - Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) akan menghantar 14 atlet elitnya menyertai kontinjen negara ke Sukan Komanwel di Melbourne, Australia Mac ini.

``Pada masa ini, kami masih menilai atlet-atlet yang bakal membawa cabaran Malaysia ke temasya sukan itu,'' kata Pemangku Presiden MPM Zainal Abu Zarin kepada Bernama, semalam.

Beliau berkata, senarai atlet elit orang kurang upaya (OKU) berkenaan akan diserahkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk diserapkan dalam program latihan bersepadu di MSN.

Senarai penuh atlet yang dipilih MPM akan diumumkan minggu depan, katanya.

Atlet elit OKU negara akan mengambil bahagian dalam keempat-empat acara sukan yang dipertandingkan iaitu olahraga, renang, angkat berat dan ping pong.

Zainal berkata pemilihan atlet ke Sukan Komanwel itu adalah berdasarkan kepda pencapaian mereka pada temasya Sukan Para Asean pada 14 hingga 20 Dis lepas dan penyertaan di beberapa kejohanan antarabangsa yang lain.

Pada penyertaan Malaysia di Sukan Para Asean di Manila, kontinjen negara membawa pulang 78 pingat emas, 41 perak dan 30 gangsa.

Kini tinggal hanya 63 hari lagi sebelum temasya Sukan Komanwel Melbourne membuka tirainya selama 12 hari dari 15 hingga 26 Mac.

Tidak seperti Sukan Olimpik dan Sukan SEA, di mana temasya sukan paralimpik diadakan sebaik sahaja temasya berakhir tetapi Sukan Komanwel menggabungkan acara sukan untuk atlet elit orang kurang upaya bersekali dengan acara sukan yang dipertandingkan pada temasya itu.

Ini bermakna sebarang pingat yang diperoleh atlet elit orang kurang upaya akan dikira dalam jumlah pungutan pingat bagi negara pada temasya berkenaan.

Pada temasya Sukan Komanwel kali ke-18, tuan rumah Melbourne mempertandingkan 4 jenis sukan bagi atlet elit orang kurang upaya dengan 12 acara - renang 50m dan 100m (lelaki dan wanita); ping pong berkerusi roda wanita dan angkat berat lelaki.

Sementara dalam acara olahraga Ñ 100m cacat penglihatan; 200m cacat anggota dan lontar cakera bagi lelaki dan 100m palsi serebrum; 800m berkerusi roda dan lontar peluru bagi atlet wanita.

Zainal berkata pengenalan penggabungan acara sukan bagi atlet paralimpik dalam Sukan Komanwel dilakukan pada 1994 di Victoria, Kanada.

``Bagaimanapun, semasa Malaysia menjadi tuan rumah pada 1998, tiada acara untuk atlet kurang upaya diadakan. Kesinambungan usaha itu kemudian diteruskan pada temasya 2002 di Manchester, England,'' katanya.

Menyentuh program latihan pusat di MSN, Zainal berkata MPM masih belum menetapkan seorang pegawai penyelaras MPM di MSN bagi mengawal-selia atlet yang bakal mengadakan latihan pusat mereka di sana.

``MPM belum menetapkan nama pegawai sepertimana yang dikehendaki oleh MSN untuk menyelaras atlet-atlet paralimpik di MSN. Calon pegawai berkenaan akan diumumkan selewat-lewatnya dalam minggu ini,'' katanya. - Bernama

Baik Punya Cilok kutip RM1 juta dalam seminggu

Oleh KHADIJAH IBRAHIM (Utusan Malaysia)

DALAM tempoh seminggu sahaja filem Baik Punya Cilok arahan Afdlin Shauki berjaya mencecah kutipan RM1 juta. Filem terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd. (TUSB) itu mula ditayangkan kepada umum sejak 22 Disember lalu di 30 pawagam di seluruh negara.

Menurut Eksekutif Pemasaran Tayangan Unggul, Wan Mohd Shazly (Amir), setiap hari pihak pawagam menayangkan enam slot filem berkenaan dan setiap tayangan sentiasa dipenuhi penonton.

“Pengurusan pawagam memaklumkan bahawa panggung sentiasa penuh bila Baik Punya Cilok ditayangkan biarpun pada hari biasa.

“Kehadiran penonton di luar dugaan itu memberi semangat kepada kami untuk terus mempromosi Baik Punya Cilok,’’ katanya ketika ditemui di pawagam TGV, Jaya Jusco, Bukit Raja, Klang.

Melihatkan kepada sokongan padu daripada peminat-peminat filem tempatan, TUSB menyasarkan dalam tempoh musim cuti sekolah ini kutipan akan meningkat lagi sehingga RM2.5 juta.

Pada tahun ini filem terbitan TUSB yang berjaya mengaut kutipan paling tinggi ialah Gangster sebanyak RM2.8 juta.

Sebagai tanda terima kasih kepada para peminat yang sentiasa memberi sokongan terhadap Baik Punya Cilok, TUSB membawa pelakon ke pawagam bagi mengejutkan penonton.

Kehadiran Awie, AC Mizal dan Nadia Mustafar di Jaya Jusco, Bukit Raja, Klang menggamatkan pawagam sebaik sahaja filem tamat dan lampu dipasang.

Kehadiran mereka bukan sekadar beramah mesra dengan peminat malah beberapa penonton bertuah turut menerima cenderamata daripada para pelakon itu.

Selain itu ketiga-tiga mereka turut menandatangani autograf untuk peminat-peminat di luar pawagam.

Awie tidak yakin

Awie yang merupakan salah seorang pelakon utama filem itu berkata, pada awalnya dia tidak yakin untuk terima tawaran daripada Afdlin yang mahukan dia memegang watak Bob, seorang kaki pukul.

Bagaimanapun, setelah berbincang dan Afdlin meyakinkan bahawa dia mampu membawa watak komedi, akhirnya Awie terima.

“Setiap adegan yang dilakonkan saya berbincang terlebih dahulu dengan Afdlin dan hasilnya adalah apa yang anda semua tengok sekarang. Afdlin ambil saya berlakon sebab dia tengok karakter itu sesuai dengan diri saya dan bukan dia main-main ambil saja.

“Jika Afdlin ajak saya berlakon lagi filem komedi, saya tidak akan tolak kerana saya sudah dapat rasa ada keserasian antara kami. Begitu juga dengan rakan-rakan lain. Sampai sekarang hubungan kami akrab,’’ katanya.

Selain Baik Punya Cilok, Awie akan muncul dalam sebuah lagi filem komedi iaitu Zombie Kampung Pisang arahan Mamat Khalid.

Jelas Awie, dia sendiri tidak percaya watak Bob dapat membuat penonton ketawa.

“Sekarang ini bila peminat-peminat bertemu dengan saya mereka melahirkan rasa seronok tengok saya berlakon Baik Punya Cilok,” kata Awie.

Menurut Awie, kata-kata daripada peminat itu memberinya keyakinan dan semangat untuk dia terus berlakon.

Selain mempromosi Baik Punya Cilok, Awie tetap tidak lupa mempromosikan album terbarunya, Santai.

AC Mizal sentiasa ketawa

Sementara itu AC Mizal ditanya adegan manakah dalam Baik Punya Cilok yang membuat hatinya tersentuh.

Sambil berfikir sejenak, AC Mizal yang ditemani isterinya, Emylia Rosnaida, berkata tiada satu adegan pun dalam Baik Punya Cilok yang boleh menyentuh hatinya. Ini kerana sejak penggambaran filem itu sehinggalah promosi dia sentiasa ketawa terutamanya bila berjumpa dengan Awie, Afdlin atau Hans Isaac.

“Macam mana nak sedih sebab semua adegan dalam filem itu pada saya amat melucukan. Pada saya filem tanpa heroin ini seperti juga filem-filem lakonan P. Ramlee yang menonjolkan pelakon lelaki sahaja,’’ katanya terus terang.

AC Mizal yang berlakon sebagai Wak, seorang kaki pancing, berkata Baik Punya Cilok mendapat sambutan daripada penonton kerana setiap pelakon filem itu mempunyai peminat mereka sendiri.

Selain Baik Punya Cilok, AC bakal berlakon dalam teater muzikal Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) sebagai Raja Majapahit, Gusti Adipati Handaya Ningrat Adi Pati, pada Februari ini.

“PGLM adalah teater pertama saya. Terima kasih kepada Tiara yang memberi kepercayaan kepada saya,’’ katanya.

AC juga akan muncul dalam filem Cicakman, Zombie Kampung Pisang, Buli Balik dan Diva.

Nadia jadi penyeri

Meskipun watak Nadia sebagai Nazatul, isteri kepada Wak, tidak banyak tapi dia tidak kisah turut serta dalam rangkaian promosi Baik Punya Cilok.

Kata Nadia, dia hanya muncul dalam enam adegan filem itu namun dia gembira berpeluang berlakon dengan pelakon-pelakon yang sering menghiburkan hatinya.

“Sejak di lokasi sehinggalah sekarang, kalau bertemu dengan mereka (Afdlin, Awie atau AC Mizal) pasti kami akan gelak memanjang. Nadia paling suka bila tengok adegan abang Awie ajar abang Harun Salim Bachik bersenam. Macam nak pecah perut tengok adegan itu,’’ katanya sambil ketawa.

Nadia yang baru pandai bercakap Minang gara-gara berlakon dalam drama bersiri Nun Di sana Cintaku arahan Nurhalim Ismail berkata untuk membawa watak wanita Minang dia mengikuti kelas bahasa tersebut selama tiga hari.

“Sebelum pergi penggambaran di Bukit Tinggi, Sumatera, Nadia belajar bahasa Minang selama tiga hari di bawah bimbingan seorang guru. Di Sumatera juga ada seorang guru memberi tunjuk ajar kepada Nadia.

“Ada yang ingat Nadia tahu bahasa itu sebelum ini. Pada hal Nadia baru sahaja belajar. Sekarang ini Nadia asyik nak bercakap Minang sahaja,’’ katanya yang turut ditemani penyanyi Ieda Moin.