Sukan dan Hiburan

Harapan karyawan

Oleh Ellyna Ali (Harian Metro)

SETIAP kali kedatangan tahun baru, azam pasti menjadi agenda utama sebilangan masyarakat Malaysia yang sentiasa mengharapkan sesuatu perubahan yang lebih baik berlaku dalam diri mereka.

Hal sama berlaku terhadap beberapa karyawan filem dan muzik kita dalam memastikan bahawa industri hiburan tempatan terus berkembang dengan lebih baik lagi. Apa kata mereka?

Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Ruhani Abd Rahman mengharapkan supaya kehadiran 2006 ini mampu membawa sinar baru dalam industri perfileman tempatan.

Malah penerbit Nizarman Productions ini turut berazam untuk menyatukan semua pembikin filem sama ada di dalam aliran arus perdana mahupun bebas.

“Demi membangun, menggerak serta memartabatkan lagi industri seni filem kita, penyatuan ini sangat diperlukan.

“Bila ada penyatuan, barulah kedua-dua kumpulan pembikin filem ini mampu bersatu serta menjalinkan kerjasama.

“Bukan setakat itu saja, dengan ada penyatuan ini juga, kita boleh mengadakan perbincangan untuk mencari penyelesaian untuk menangani beberapa masalah atau kemelut yang berlaku dalam industri,” katanya.

Kata Ruhani lagi, seandainya setiap pembikin filem bersatu hati, tidak mustahil industri perfileman tempatan akan mampu menjadi kuat serta kukuh.

“Lebih-lebih lagi, kita sekarang ini berada di bawah naungan Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan yang banyak membantu membangunkan industri seni tanah air.

“Inilah masanya untuk kita menggunakan peluang bagi membantu untuk menjana pergerakan industri.

“Janganlah disebabkan perbalahan yang sia-sia, kita akan kehilangan semua peluang yang diberikan ini pula,” katanya.

Pengarah Bade Azmi pula mengharapkan supaya beberapa masalah atau kemelut yang sekian lama berlaku dalam industri filem dapat diatasi segera demi kebaikan semua pihak.

Dia juga menyarankan supaya semua pihak mengutamakan filem yang dihasilkan pembikin filem tempatan.

“Kalau kita lihat perkembangan industri sejak akhir-akhir ini, memang banyak sekali filem tempatan yang dihasilkan. Tapi, mengapakah kita masih hendak utamakan filem dari luar.

“Contohnya yang berlaku kepada filem Baik Punya Cilok baru-baru ini. Apabila Castello memasuki pawagam untuk tayangan lewat malam, pihak panggung menghentikan Baik Punya Cilok sedangkan sambutan yang diterima daripada penonton cukup bagus.

“Sebaliknya, filem luar seperti Narnia dan King Kong pula dikekalkan. Saya harap masalah ini akan dapat diberi perhatian sewajarnya.

“Dulu ketika filem luar ini diberikan keutamaan, alasan yang diberikan mereka ialah kerana kita kekurangan filem tempatan,” katanya yang berazam untuk menghasilkan dua filem pada tahun ini.

Kata Bade lagi, sekarang ini filem tempatan sudah semakin banyak.

“Lebih-lebih lagi, ia bukan saja dihasilkan pembikin filem aliran arus perdana tetapi juga bebas,” katanya.

Artis & Repertoire EMI Music Malaysia, Tarmizi Mokhtar atau Miji pula mengharapkan industri muzik tempatan akan terus berkembang tahun ini.

“Melihat kepada kemunculan Mawi yang disifatkan sebagai satu fenomena serta jualan album luar biasa yang dicetuskan anak muda dari Johor itu, harapan untuk melihat industri berkembang sememangnya ada.

“Walaupun macam-macam orang cakap mengenai juara bintang AF3 itu, tapi hakikatnya kehadiran Mawi sebenarnya mula mencetuskan suatu keseronokan dalam industri, selepas lama ia senyap dan suram.

“Mawi sama ada secara nampak atau sebaliknya menjadi pembuka ruang untuk industri bernafas semula.

“Manakala, sebagai pemuzik pula, saya secara peribadi mengharapkan supaya rock akan kembali bertakhta dalam industri tahun ini,” katanya.

Komposer Ajai pula mahu bekerja keras dan memberikan tumpuan untuk mengembangkan lagi perniagaannya menerusi syarikat produksinya, Wake The Baby.

“Selepas Shazzy, saya bercadang untuk mengeluarkan lebih banyak lagi artis di bawah naungan syarikat ini.

“Malah, saya juga akan memberikan fokus kepada album baru saya bersama Nurul yang akan berada di pasaran pada 14 Februari ini.

“Juga tumpuan untuk anak saya yang baru berusia 12 hari dilahirkan menerusi tabung uji. Namanya Mohd Fairul Ehsan,” katanya.

Apapun AJai turut mengharapkan supaya perkembangan industri muzik akan lebih meningkat lagi pada tahun ini.

“Yang penting, kita harus banyak mengeluarkan bakat baru yang baik di dalam industri,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home