Sukan dan Hiburan

Ronaldinho Terbaik Dunia


ZURICH - Tonggak Brazil dan Barcelona, Ronaldinho meraih anugerah Pemain Terbaik Dunia buat kali kedua berturut-turut oleh badan induk bola sepak dunia, FIFA semalam.

Ronaldo merupakan pemain ketiga Brazil yang memenangi anugerah pemain terbaik dunia dan Eropah pada tahun yang sama selepas Ronaldo pada 1997 dan 2002 dan Rivaldo pada 1999.

Ronaldinho memperoleh 956 mata untuk selesa mengatasi pemain tengah Chelsea dari England, Frank Lampard (306) pada undian FIFA oleh jurulatih dan ketua pasukan pasukan bola sepak kebangsaan di seluruh dunia.

Rakan sepasukan Ronaldinho dalam Barcelona, Samuel Eto'o dari Cameroon ketiga dengan 190 mata.

``Saya mengucapkan terima kasih kepada semua rakan sepasukan kelab dan kebangsaan kerana tanpa mereka saya tidak berada di sini,'' kata Ronaldinho pada majlis Gala FIFA yang diadakan di Zurich.

``Saya hanya mahu membuat orang gembira dan berharap dapat berada di sini lagi pada masa akan datang,'' katanya.

Ronaldinho, 25, turut memenangi anugerah Pemain Terbaik FIFPro tahun ini, yang dipilih oleh para pemain bola sepak profesional pada September.

Ronaldinho menikmati saat-saat kejayaan, membantu Barcelona merangkul kejuaraan Liga Primera Sepanyol dan tampil apabila Brazil mencipta kejayaan pada Piala Konfederasi.

Naib juara, Lampard akur dengan kekalahannya.

``Saya tidak kecewa. Bagi saya dia merupakan pemain paling menarik dan saya terhibur melihat aksinya,'' kata Lampard sambil menambah bahawa Ronaldinho layak menang.

Undian adalah berdasarkan keputusan 159 jurulatih dan ketua pasukan antarabangsa.

Lima mata diberikan kepada pemain di tempat pertama, tiga untuk tempat kedua dan satu untuk tempat ketiga.

Sementara itu, Birgit Prinz dari Jerman menewaskan saingan pemain Brazil, Marta dan Amerika Syarikat Shannon Boxx untuk memenangi anugerah bagi wanita buat kali ketiga berturut-turut.

Walaupun Ronaldo dan Zinedine Zidane dari Perancis memenangi anugerah kategori lelaki tiga kali, FIFA berkata, kejayaan Prinz mencatat sejarah apabila buat pertama kali pemain wanita mencipta hatrik.

Brazil dinamakan Pasukan Terbaik dan bandar di Peru, Iquitos diberikan anugerah Fair Play.

Komuniti Iquitos menjadi venue untuk kejohanan bola sepak Dunia Bawah 17 pada September dan Oktober.

Anugerah Presiden dimenangi bekas pengadil antarabangsa Sweden, Anders Frisk.

Frisk bersara Mac lalu setelah menerima ancaman selepas mengadili perlawanan kontroversi yang dimenangi Barcelona 2-1 ke atas Chelsea dalam Liga Juara-Juara, Februari lalu. - Reuters

0 Comments:

Post a Comment

<< Home