Sukan dan Hiburan

Pencapaian Olahraga Membanggakan

SKUAD olahraga negara di Sukan Sea mengumpul 8 pingat emas, 4 perak dan 3 gangsa berbanding jangkaan awal enam emas apabila atlit trak dan belapan kita melabuhkan tirai saingan Sukan Sea Manila, semalam.

Biarpun olahraga masih mempunyai acara marathon Sabtu ini - Malaysia tidak mempunyai wakil dalam acara itu - skuad negara mampu berbangga dengan pencapaian itu biarpun dibelenggu masalah kecederaan atlit utama seperti Nazmizan Mohamad, S Ravindran dan Noraseela Khalid.

Semalam, atlit jalan kaki membuka langkah emas dan perak apabila Sharrulhaizy Abdul Rahman dan B Thirukumaran menguasai sirkit di Macapagal Boulevard sebelum Siti Shahida Abdullah meraih emas terakhir dengan catatan rekod Sukan Sea yang baru di Stadium Peringatan Rizal pada sebelah petang.

Malaysia turut memenangi sebutir gangsa daripada rangkaian kuartet 4X400 meter biarpun harapan pingat yang disandarkan daripada Teh Weng Chang (lompat bergalah) dan Ahmad Firdaus Salim dan Sazari Sahar tidak kesampaian.

Di Sukan Sea Vietnam 2003, Malaysia mengumpul 8 emas, 3 perak dan 5 gangsa.

Pengurus pasukan, N Iyaru menganggap pencapaian di Manila ini memberangsangkan dan membuktikan atlit negara masih boleh disandarkan harapan di temasya besar.

"Ini boleh dianggap satu pencapaian besar kerana tanpa beberapa atlit yang dianggap harapan, rakan-rakan mereka di sini masih mampu melepasi sasaran. Jika tidak kerana kecederaan, saya yakin kami mampu mencatat pungutan yang lebih besar.

"Nyata semangat kental membuktikan mereka mampu bersaing dengan hebat, termasuk daripada beberapa atlit yang kita tidak sandarkan harapan tinggi seperti Shahadan Jamaludin dan Siti Shahida," katanya. - Berita Harian

0 Comments:

Post a Comment

<< Home