Sukan dan Hiburan

Kontroversi Bayangi Aksi Play-off


PARIS - Kontroversi membayangi perlawanan play-off kedua kelayakan bola sepak Piala Dunia hari ini - perlawanan terakhir selepas 26 bulan kempen kelayakan bagi melengkapkan senarai ke pusingan akhir di Jerman tahun depan.

Lima tempat terakhir daripada 32 pasukan bertanding menjadi perebutan hari ini dengan ketegangan semakin memuncak.

Pasukan Switzerland diejek oleh penyokong Turki sewaktu tiba di Istanbul, pemain Slovakia menuduh FIFA memihak kepada Sepanyol, pemain Uruguay berkata mereka lebih berhak beraksi di pusingan akhir dan perlawanan dengan Australia pastinya penuh tegang kerana sejarah kontroversi kedua-dua pasukan.

Australia mendakwa memiliki kelebihan psikologi ke atas lawan mereka Uruguay selepas menikmati penerbangan selesa menerusi pesawat yang disewa khas sewaktu pulang dari Montevideo kelmarin.

Pemain Uruguay tiba lebih awal kelmarin tetapi dengan penerbang kelas ekonomi pesawat komersial, dua jam lebih awal dari pasukan Australia yang menaiki pesawat yang disewa khas serta lengkap dengan kerusi urut dan pegawai perubatan.

Juara Piala Dunia dua kali Uruguay mendahului 1-0 menjelang perlawanan kedua di stadium Olimpik Sydney menerusi jaringan di babak pertama Dario Rodriguez pada perlawanan di Estadio Centenario, Sabtu lalu.

Ketua Eksekutif Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA), John O'Neill berkata penerbangan pulang yang selesa membuktikan mereka berpeluang menamatkan penantian 32 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia di Jerman.

``Saya rasa ia berjalan sempurna. Qantas wajar diberi pujian - sepanjang perjalanan berjalan lancar,'' O'Neill memberitahu wartawan sejurus tiba di lapangan terbang Sydney.

``Para pemain berehat secukupnya dan mereka cukup bersedia untuk perlawanan malam esok (hari ini).''

Pesawat yang membawa pemain Australia dilengkapi kerusi urut, kemudahan video, dua doktor, pakar terapi dan pakar urut di sepanjang perjalanan 11,865 kilometer dari Uruguay.

Sementara itu, pemain tengah Slovakia Miroslav Karhan menuduh badan bola sepak dunia FIFA tidak mahu negaranya layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2005.

Sepanyol membelasah Slovakia 5-1 pada perlawanan pertama Sabtu lalu dan pemain tengah VfL Wolfsburg Miroslav Karhan mendakwa keputusan perlawanan dan beberapa keputusan pengadil yang meragukan, menunjukkan konspirasi ke atas Slovakia.

``FIFA tidak mahu Slovakia di Piala Dunia,'' Karhan memberitahu Wolfsburger Nachrichten.

``Sepanyol lebih berpengaruh dan mereka lebih layak menjadi tetamu di Jerman. Ia satu penghinaan.''

Pasukan Switzerland yang mendahului Turki 2-0 hanya meninggalkan lapangan terbang Ataturk, Istanbul selepas dua jam menunggu di bawah kawalan polis kelmarin.

Imej televisyen rangkai CNN-Turki menunjukkan penyokong Turki menjerit ke arah pemain.

Persekutuan Bola Sepak Turki membuat aduan rasmi kelmarin mengenai penyokong Switzerland yang menjerit sewaktu lagi kebangsaan Turki dimainkan di Bern Sabtu lalu juga mengenai jurulatih Fatih Terim ditolak ketika cuba menghadiri sidang akhbar.

Pemain tengah Republik Czech, Tomas Rosicky yang cedera sewaktu menang 1-0 ke atas Norway di Oslo Sabtu lalu, masih belum pasti diturunkan pada perlawanan di tempat sendiri di Prague hari ini.

Pemain Borussia Dortmund, Rosicky mengalami kecederaan dari buku lalu dan lutut selepas terkena bola rembatan deras pemain Liverpool John Arne Riise.

``Kecederaan saya masih tidak sembuh sejak Sabtu lalu walaupun doktor cuba memastikan saya beraksi,'' kata Rosicky. Jurulatih Republik Czech, Karel Bruckner sudah bersedia untuk aksi tanpa ketua pasukan Tomas Galasek yang digantung selepas menerima dua kad kuning.

Satu lagi perlawanan dilihat lebih seimbang di antara Bahrain menentang Trinidad&Tobago selepas seri 1-1 pada perlawanan pertama dengan perlawanan diadakan di Timur Tengah. - AFP

0 Comments:

Post a Comment

<< Home