Sukan dan Hiburan

Penjaring Terbaik Dunia

GENEVA: Sven-Goran Eriksson melabelkan Michael Owen sebagai penjaring gol terbaik di dunia selepas penyerang Newcastle itu menemui sasaran dua kali pada tiga minit terakhir untuk membantu England menang 3-2 ke atas Argentina pada perlawanan persahabatan kelmarin.

“Apa lagi yang anda boleh katakan mengenainya?” tanya pengurus England itu. “Jika dia mempunyai tiga peluang dia akan menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol – itulah Michael Owen. Selalunya dalam perlawanan besar, dia akan menyinar. Saya tidak tahu jika dia yang terbaik tetapi dia salah seorang yang terbaik. Dia sudah membuktikannya bertahun-tahun.”

England kini diserapkan antara pilihan untuk merangkul kejuaraan Piala Dunia di samping Brazil, Jerman serta Argentina dan Eriksson pastinya mahukan pasukan itu mengulangi kejayaan dramatik perlawanan itu.

“Ia persembahan yang hebat dan keputusan yang bagus,” katanya. “Ia adalah satu perlawanan yang betul-betul bermutu dari kedua-dua pasukan. Banyak peluang dicipta dan aksi bola sepak yang bagus.

“Ia penting juga untuk meyakini penyokong-penyokong dan juga ranking dunia. Jika anda bercakap mengenai kuasa besar bola sepak dunia, saya rasa mereka menghormati pemain-pemain kami.”

Namun di sebalik kebangkitan lewat permainan, kebimbangan nyata di kem England ketika Argentina mendominasi saingan dengan peluang demi peluang dicipta pada awal babak.

“Kami berhempas-pulas pada awal saingan,” akui Eriksson. “Mereka terlalu agresif dan kami bermasalah untuk mengawal bola tapi kami akhirnya mampu bangkit.”

Gol pembukaan Argentina hadir pada minit ke-34 apabila sayap kiri Maximiliano Rodriguez melintangkan hantaran kepada Crespo dari sebelah kanan yang menampan bola masuk melepasi penjaga gol Paul Robinson sebelum Wayne Rooney menyamakan kedudukan tujuh minit sebelum rehat.

Pemain gantian Paul Konchesky gagal mengawal Walter Samuel di penjuru kotak penalti dan pemain Inter Milan itu meledakkan gol melepasi Robinson berikutan sepakan percuma Riquelme sebelum Owen memastikan kemenangan menerusi tandukan pada tiga minit terakhir.

Eriksson turut puas hati dengan persembahan Peter Crouch dan Steven Gerrard, dua pemain yang gagal menyerlah dalam pasukan England sejak akhir-akhir ini.

“Gerrard boleh beraksi di mana-mana,” katanya selepas menggunakan ketua pasukan Liverpool itu di tiga posisi berbeza.

“Dia agak selesa di pertahanan kanan akhirnya. Saya melakukannya kerana tidak mahu mengganggu pemain tengah lain dan kami mahu memenangi perlawanan itu dengan meletakkan Crouch di depan.

“Saya mahu penyokong agar tidak mengejeknya (Crouch) dan dia mempamerkan sekali lagi bahawa dia pemain yang istimewa. Dia amat penting (dalam kedua-dua gol Owen).” – AFP

0 Comments:

Post a Comment

<< Home