Sukan dan Hiburan

Mestica Terus Orak Langkah


WALAUPUN baru menginjak usia dua tahun sebagai anak seni, kumpulan Mestica tidak mengambil masa lama untuk menempatkan diri dalam seni suara tanah air. Kecekalan dan pengalaman ketika di bangku sekolah banyak mengajar empat anggotanya berjuang memartabatkan irama nasyid di persada seni tanah air.

Mestica yang dianggotai Mohd Khairulnizam Zainol, 24, Muhamad Razin Che Mud, 23, Khalil Khusairi Tarmizi, 23 dan Shaiful Izzuddin Mohamad, 22, muncul menerusi album sulung mereka, Sendu Sendawa tahun lalu.

Sesudah melakar kejayaan dengan penjualan 11,000 unit menerusi album pertama, mereka kini tampil bersemangat membawa pembaharuan menerusi album kedua, Layar Keinsafan.

Album diterbitkan Hijjaz Records Sdn Bhd (HRSB) ini mula berada di pasaran sejak 5 September lalu.

Menurut Khalil, mereka kini menumpukan sepenuh perhatian untuk album terbaru ini.

“Kami masih lagi dalam rangka promosi album kedua ini dan aktif menjayakan persembahan pentas di serata tempat. Meskipun begitu, kami berehat seketika di bulan Ramadan untuk menumpukan perhatian kepada amal ibadat.

“Selain itu, kami juga terbabit sama menjayakan album VCD MTV Karaoke berjudul Nur Syawal yang menggabungkan semua artis di bawah HRSB iaitu Hijjaz, InTeam dan UNIC selain daripada kami sendiri,” katanya.

Razin pula berkata, sebanyak 10 lagu dimuatkan dalam album terbaru ini. Antara lagu popular yang terdapat dalam album ini ialah Layar Keinsafan, Demi Cinta Zainab dan Rahmat Ujian.

“Kami juga amat terharu kerana Muniff Hijjaz sudi berduet menerusi lagu Puteriku Sayang manakala InTeam melalui lagu Kerana Cinta,” katanya.

Selain itu, bersesuaian dengan keadaan negara yang menjadi tumpuan pelancong asing khususnya dari Timur Tengah, Mestica turut memuatkan sebuah lagu Inggeris berjudul The Pilgrimage Of Life ciptaan Trybe.

Mereka juga sedang merancang untuk muncul dengan album MTV karaoke memandangkan ia mendapat permintaan daripada peminat. MTV karaoke ini lebih menfokuskan lagu daripada album kedua kami di samping menyelitkan beberapa lagu daripada album pertama.

Mestica berharap kemunculan album terbaru ini dapat mengubat rindu peminat dan memenuhi citarasa pendengar daripada pelbagai lapisan masyarakat. Malah album ini menampilkan kelainan apabila tidak lagi menumpukan kepada irama pop etnik sebaliknya lebih menjurus kepada irama kontemporari sedia ada.

Sementara itu, kumpulan Mestica meluahkan rasa syukur dan bertuah kerana diberi cuti seminggu pada Aidilfitri daripada terbabit dalam sebarang aktiviti seni.

“Cuti yang diberikan ini amat bermakna bagi kami untuk meluangkan masa bersama keluarga dan sanak-saudara di kampung. Inilah masa paling bermakna buat kami semua,” kata Shaiful.

Walaupun dianggap masih mentah dalam dunia seni, mereka boleh tersenyum lebar apabila lagu dendangan mereka iaitu Destinasi Cinta tersenarai antara 10 finalis Anugerah Carta Nasyid Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) atau ACNI ‘05.

Destinasi Cinta adalah hasil sentuhan lirik Frizdan dan susunan lagu Abai Os di bawah syarikat rakaman HRSB. Mereka akan berentap bersama sembilan lagi finalis ACNI pada 10 Disember ini di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). - Mohd Nasif Badruddin (
mnasif@hmetro.com.my )

Harian Metro Jumaat 28 Oktober 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home