Sukan dan Hiburan

Semarak Semangat Cinta Negara


AHAD lalu, komposer terkenal, Ramli MS, ada mencadangkan supaya melodi lagu Negaraku diubah berikutan ia sama dengan rentak lagu Terang Bulan dari Mahe, Kepulauan Seychelles dan Mamula Moon, Hawaii.
`
Katanya, selepas mendengarkan dua lagu itu, sememangnya 100 peratus sama dengan Negaraku. Kini, sampai masanya sesuatu yang asli dihasilkan demi maruah negara. Kini, Malaysia sudah ada kepakaran itu.
`
Sehubungan itu, rata-rata cadangan Ramli ini menarik minat rakyat negara ini. Kebanyakannya bersetuju supaya lagu baru Negaraku dicipta. Ini kerana ia penting untuk menyemarakkan semangat cintakan negara.
`
Presiden Majlis Muzik Malaysia, Datuk A Rahman Hassan, berkata beliau bersetuju dengan Ramli supaya lagu Negaraku dicipta baru oleh pemuzik tanah air sendiri. Katanya, ini adalah masanya untuk berbuat demikian.
`
“Sudah tiba masanya kita mencipta lagu sendiri dan tidak perlu mengambil lagu orang lain sebagai saduran. Bagi saya, ia mampu dilakukan kerana Malaysia hari ini mempunyai ramai komposer berbakat dalam penciptaan lagu.
`
“Dalam soal ini juga, Ramli sendiri boleh memberikan sumbangannya. Malah, apa yang diperkatakan Ramli itu ada benarnya. Kira-kira enam tahun lalu, saya sendiri pernah menyuarakan pendapat sama,” katanya.
`
Menurut A Rahman lagi, ketika itu isu yang diperkatakan mengenai temponya. Ramai meminta supaya tempo asal Negaraku yang perlahan diubah kepada rancak. Kini, sekali lagi isu baru mengenai lagu Negaraku ditimbulkan.
`
“Saya mengambil kesempatan ini sekali lagi mencadangkan supaya lagu baru Negaraku dicipta. Tidak perlu lagi menukar tempo sedia ada sebaliknya lahirkan lagu baru yang dicipta sendiri.
`
“Saya yakin, ia akan membuatkan kita (rakyat) lebih berbangga. Apa hendak dirisaukan kerana kita juga mempunyai ramai pencipta berkaliber dan berupaya melakukannya. Nama-nama besar sudah ada.
`
“Seperti diperkatakan Ramli, negara kita sememangnya mempunyai tokoh hebat seperti Datuk Ahmad Nawab, Datuk Johari Salleh, Datuk Wah Idris, M Nasir, Roslan Imam dan Suhaimi Md Zain (Pak Ngah) untuk bekerjasama mencipta lagu baru Negaraku ini,” katanya.
`
Menurut A Rahman, dengan adanya Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) yang terunggul di Asia, melengkapkan lagi kepakaran negara ini.
`
Dalam penulisan Ramli, Ahad lalu, komposer ini turut memberitahu terdapat kumpulan muzik ‘menjazzkan’ lagu Negaraku dalam satu festival jazz yang berlangsung, baru-baru ini. Walaupun, pemuzik Malaysia ada di majlis itu, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa.
`
Sesungguhnya, kita tiada hak untuk mempertahankannya sebagai lagu kebangsaan. Ini kerana mereka boleh mengatakan bahawa itu adalah lagu Terang Bulan atau Mamula Moon dan bukannya Negaraku.
`
Justeru, kata Ramli, kita harus memerdekakan lagu Negaraku sebelum orang lain mempertikaikannya. Dalam soal ini, hanya melodi yang ditukar tapi lirik Negaraku masih dikekalkan.
`
Kini, kita memerlukan pembaharuan maruah. - Norhayati Nordin
`
Harian Metro 20 Oktober 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home