Sukan dan Hiburan

Malaysia Raih Dua Gelaran


GELARAN berganda buat Malaysia apabila pemain perseorangan, Lee Chong Wei dan beregu Chan Chong Ming-Koo Kien Keat menjulang kejuaraan kejohanan badminton lima bintang Terbuka Denmark, di Aarhus semalam.

Chong Wei, pilihan kedua, menjadi pemain perseorangan pertama negara selepas Tan Aik Huang dalam tempoh 39 tahun merangkul kejuaraan dengan menewaskan rakan sepasukan Hafiz Hashim 17-14, 15-8.

Manakala Chong Ming-Kien Keat pula mengalahkan juara bertahan dan pilihan kedua dari Denmark, Lars Paaske-Jonas Rasmussen 15-6, 15-7, untuk gelaran beregu yang kali pertama dimenangi pasangan Malaysia pada 1987 melalui Razif-Jalani Sidek.

Bagi Chong Wei, kejuaraan itu adalah trofi keduanya musim ini selepas kejayaan di Terbuka Malaysia Jun lalu dan pilihan kedua kejohanan turut meraih pingat gangsa pada kejohanan dunia di Anaheim, Ogos lalu dan membawa pulang hadiah kemenangan AS$13,600 (RM51,680).

Manakala Hafiz, yang gagal memenangi kejuaraan kedua berturut-turut - seperti dilakukan ketika menang di Switzerland dan Thailand awal tahun ini - tetap pulang bersama trofi ketiga Terbuka Belanda yang diraih minggu lalu menerima habuan AS$6,800 (RM25,840).

Chong Ming-Kien Keat yang memenangi gelaran pertama mereka musim ini meraih AS$12,240 (RM46,512) dan akhirnya menepati potensi selepas lebih dua tahun mencari keserasian.

“Saya gembira dengan kejayaan pemain kita,” kata ketua jurulatih, Yap Kim Hock kepada Berita Harian Sukan dari Aarhus. “Dalam dua kejohanan kita berjaya merangkul empat gelaran. Saya harap ia satu permulaan kepada lebih cemerlang.

“Dalam perlawanan semalam jelas Chong Wei lebih bertenaga dari Hafiz yang bergelut dengan kesakitan lutut kanannya selepas mengharungi perlawanan yang sengit menuju ke perlawanan akhir. Selepas set pertama yang sengit, Hafiz kelihatan lemah dalam set kedua.

“Manakala Chong Ming-Koo Kien Keat begitu bersemangat dan permainan mereka kemas, serangan dan pertahanan mereka jitu serta konsisten. Mereka tidak memberi peluang kepada Paaske-Rasmussen untuk mengasak,” kata Kim Hock.

Chong Wei terpaksa memerah keringat terutama dalam set pertama untuk mencatat kemenangan dengan kedua-dua pemain mengejar mata dan kedudukan terikat dius 14-14 dan juara kebangsaan itu mengutip tiga mata akhir untuk menamatkan saingan Hafiz selepas pertarungan 30 minit dan set kedua hanya memerlukan 19 minit meraih kejayaan dengan keputusan 15-8.

Manakala Chong Ming-Kien Keat menang agak mudah dalam tempoh 37 minit ke atas lawan dari Denmark dengan mendahului dalam kedua-dua set dan tidak membenarkan lawan mengejar.

Selepas menang set pertama 15-6, pasangan negara mendahului 13-3 dalam set kedua dan kemudian 14-3 tetapi Paaske-Ramussen mengutip empat mata lagi sebelum Chong Ming-Kien Keat menamatkan penguasaan kejuaraan gandingan tuan rumah itu dengan mata 15-7.

KEPUTUSAN
Badminton Terbuka Denmark

AKHIR: Perseorangan Lelaki: Lee Chong Wei (Mas) mn Hafiz Hashim (Mas) 17-14, 15-8; Beregu Lelaki: Chan Chong Ming-Koo Kien Keat (Mas) mln Lars Paaske-Jonas Rasmussen (Den) 15-6, 15-7; Perseorangan wanita: Pi Hongyan (Fra) mn Xu Huaiwen (Ger) 7-11, 11-4, 11-5. - Lukman Salleh


Berita Harian 25 Oktober 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home