Sukan dan Hiburan

Harapan Final FAM

WALAUPUN mempamerkan aksi tidak konsisten, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap menaruh harapan skuad kebangsaan mampu melangkah ke final Sukan Sea Manila di Filipina, Disember depan.
`
Bagaimanapun FAM sedar yang sasaran itu bukan mudah kerana Norizan Bakar hanya mempunyai dua bulan untuk menyiapkan skuad negara berikutan baru mengambil alih tugas daripada Bertalan Bisckei sebelum temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu bermula penghujung bulan depan.
`
Berdasarkan rekod Sukan Sea dua kejohanan lalu, skuad kebangsaan sekadar meraih gangsa di Vietnam pada 2003 manakala perak di Kuala Lumpur, dua tahun sebelumnya.
`
Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, berkata FAM berharap skuad kebangsaan mencapai kejayaan dan sasaran layak ke final menjadi kenyataan.
`
Katanya, sasaran itu adalah pendirian dan matlamat asal FAM bagi memulihkan kembali imej bola sepak negara selepas aksi mengecewakan di Kejohanan Asia Tenggara.
`
“Setakat ini, saya hanya membaca akhbar mengenai prestasi skuad negara di UAE (Emiriah Arab Bersatu) kerana ada yang menang dan kalah.
`
“Saya tidak berani buat penilaian awal tetapi kita perlu memberi peluang kepada mereka menebus maruah dan cuba mendapat tempat ke final,” katanya di Kuantan, semalam.
`
Berdasarkan kunjungan ke UEA, skuad kebangsaan hanya menang ke atas Kelab Sukan Dubai 4-2 dan tewas kepada Al-Ahly (0-2) dan Kelab Sukan Al-Wasl (1-4) manakala kunjungan ke Poland Ogos lalu, berakhir tanpa sebarang kemenangan daripada tiga perlawanan.
`
Bagaimanapun, rekod keaiban yang paling besar dialami skuad kebangsaan apabila dibelasah 0-7 di tangan Thailand dan menduduki tempat keempat pada Kejohanan Asia Tenggara itu.
`
Ditanya tempoh dua bulan menjelang kejohanan di Manila nanti, Tengku Abdullah berkata, soal kecergasan dan fizikal sepanjang latihan pusat bersama Norizan sudah mencukupi.
`
“Cuma tumpuan jurulatih kini adalah mengenai taktikal dan persefahaman bagi memastikan pemain yang akan ke Sukan Sea Manila kali ini mempunyai semangat juang tinggi,” katanya.
`
“Jika sebelum ini kita perhatikan asyik bertukar pemain setiap kali dipanggil menyertai skuad kebangsaan, harapan kali ini adalah dapat menyatukan pasukan yang berkaliber.
`
“Saya doakan mudahan-mudahan bagi tempoh dua bulan ini ia akan memperlihatkan perkembangan positif bukan saja dari segi kecergasan tetapi taktikal yang bakal diterapkan nanti,” katanya. - Asrol Awang
`
Harian Metro 20 Oktober 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home