Sukan dan Hiburan

Hajat Besar Selangor

SELEPAS mencatat tiga kejuaraan musim ini, Selangor mempunyai selera besar untuk mengulangi pencapaian musim cemerlang yang dicatatkan 10 tahun lalu.
`
Pada musim 1995, skuad Merah Kuning itu memenangi Piala Malaysia buat kali ke-26 dan menjulang piala itu dua musim seterusnya untuk mencatat kejayaan hatrik menjuarai piala paling berprestij itu.
`
Demi memenuhi cita-cita besar itu, pengurusan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), mengekalkan hampir 99 peratus senarai pemain yang membantu mereka menjulang Piala Malaysia buat kali ke-30 musim ini bagi menghadapi saingan lebih mencabar musim depan yang bermula awal Disember nanti.
`
Pengurus pasukan Selangor, Datuk Satim Diman, berkata 19 pemain tempatan yang menandatangani kontrak selama dua tahun untuk memenuhi misi berkenaan.
`
“Selepas memenuhi matlamat memenangi Piala Malaysia musim ini, kita mengambil keputusan mengekalkan hampir keseluruhan pemain musim ini dengan kontrak selama dua tahun.
`
“Kita mempunyai misi yang tinggi iaitu bukan saja mempertahankan Piala Malaysia musim depan, tetapi mengulangi kejayaan menjulang piala itu tiga musim berturut-turut kali ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Kontrak Pemain di Wisma FAS, Kelana Jaya, semalam.
`
Dalam majlis itu, seramai 19 pemain tempatan diketuai kapten, Shukor Adan termasuk pemain terbaru Selangor, K Rajan, menandatangani kontrak di depan Satim dan Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd Amin serta Bendahari FAS, S Sivasundram.
`
Satim berkata, pengekalan sebahagian besar pemain Selangor itu dilakukan berikutan pengurusan FAS yakin dengan kemampuan mereka menghadapi Liga Super musim depan.
`
“Kita akan beraksi dalam Liga Super musim depan dan ini adalah saingan yang lebih mencabar berbanding aksi di Liga Perdana.
`
“Berikutan itu, kita turut mengambil beberapa pemain lain bagi memperkuatkan pasukan ini,” katanya.
`
Katanya, kehadiran bekas pemain Negeri Sembilan, Rajan, dalam skuad itu musim depan akan memantapkan barisan serangan pasukan itu.
`
“Kita sudah mempunyai Elie Aiboy di bahagian sayap kanan dan kehadiran Rajan di sayap kiri memberi lebih banyak pilihan kepada pasukan dalam mengatur serangan.
`
“Kita berharap ini akan menjadikan Selangor lebih berdaya saing dan seterusnya memenuhi matlamat yang kita tetapkan pada musim depan,” katanya.
`
Katanya, kontrak dengan pemain import terbaru yang juga pemain pertahanan kebangsaan Indonesia, Charis Yulianto, akan diselesaikan minggu depan.
`
“Saya dan jurulatih, Dollah Salleh akan ke Jakarta, Isnin ini, untuk menyelesaikan beberapa perkara dan kita berharap dapat mendapatkan khidmatnya bagi memantapkan bahagian pertahanan pasukan.
`
“Saya yakin, sebagai pemain profesional dia tidak mempunyai masalah untuk bergandingan sesiapa saja di bahagian pertahanan,” katanya. - Kamarulzaman Pid
`
Harian Metro 21 Oktober 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home