Sukan dan Hiburan

Kedah Dalam Kumpulan `maut'

Oleh Amran Mulup

PETALING JAYA (Utusan Malaysia) - Pertembungan juara Piala Malaysia, Selangor dengan naib juara Piala FA, Perak akan menjadi perlawanan pembuka tirai perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Disember ini.

Tiga lagi perlawanan serentak yang diadakan antara Selangor dan Perak ialah Pulau Pinang bertemu MPPJ, Negeri Sembilan menentang Pahang dan juara Liga Super, Perlis menanti kunjungan Telekom.

Bagaimanapun, kancah saingan Liga Perdana Kumpulan A lebih menarik perhatian pada undian Liga Super dan Liga Perdana musim 2005/2006 di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Kelana Jaya, semalam.

Dalam undian tersebut yang turut dihadiri Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melihat Kumpulan A dianggap sebagai `kumpulan maut.

Naib juara Piala Malaysia 2004, Kedah yang dihampakan oleh Selangor tersisih untuk menempatkan diri bersaing dalam Liga Super berdepan tugas paling getir diundi dalam kumpulan tersebut.

Skuad Kenari terpaksa bersaing dengan lima pasukan negeri yang pernah muncul juara dan naib juara Piala FA dan Piala Malaysia sebelum ini.

Empat saingan getir Kedah nanti daripada juara Piala Malaysia 2001, Terengganu; naib juara Piala FA 2001, Sarawak; juara Piala FAM 2005, Kelantan dan Johor.

Jurulatih Kelantan, Kamaruddin Mohd. Nor berkata, Kumpulan A dianggap paling mencabar bersaing dengan empat pasukan negeri.

``Sukar untuk saya ramalkan peluang Kelantan untuk memburu tempat ke Liga Super 2007 kerana saingan paling getir.

``Kehadiran Kedah, Terengganu, Sarawak dan Johor adalah penghalang utama buat Kelantan tetapi ini tidak akan melemahkan semangat pemain,'' ujarnya.

Sementara jurulatih Sarawak, Jalil Rambli mengakui betapa peluang pasukannya untuk ke Liga Super 2007 tampak menyukarkan.

Menurutnya, Sarawak yang mahu bangkit bagi musim 2005/2006 mendapati kehadiran empat pasukan negeri menjadi batu penghalang.

``Sama ada Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu masing-masing diakui hebat, yang jelas peluang semua pasukan adalah sama rata,'' ujarnya.

Tiga lagi pasukan yang turut diundi dalam Kumpulan A berstatus kelab ialah NTFA, Perak UPB (dulu dikenali Perak Jenderata) dan Brunei yang diwakili kelab DPPMM.

Berbanding dalam Kumpulan B dilihat keupayaan lebih seimbang apabila membariskan tiga pasukan negeri iaitu naib juara Piala Malaysia 2003, Sabah.

Sabah yang terjerumus daripada Liga Super musim 2005 akan bersaing hebat dengan Kuala Lumpur dan Melaka yang dikekalkan dalam Liga Perdana selepas MK Land dan Public Bank menarik diri.

Namun begitu tiga pasukan itu dijangka diberi tentangan sengit oleh lima kelab iaitu naib juara Piala FAM, Pahang Kuantan Port/Shahzan Muda, PKNS, TNB, Johor FC dan PDRM.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home