Sukan dan Hiburan

TV Perlu Didik Nilai Murni

SELAIN unsur hiburan, pengisian program raya di stesen televisyen tempatan perlu memberi fokus mendidik masyarakat kepada nilai-nilai murni, positif dan keagamaan.

Pengisian program sedemikian penting dalam usaha meningkatkan muhasabah diri di kalangan masyarakat moden hari ini.

Seperti ditegaskan Pensyarah Jabatan Bahasa al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa yang juga penceramah bebas, Ustaz Mohd Zawawi Yusoh, sambutan hari raya bukan sekadar untuk kita bergembira, sebaliknya ia adalah hari di mana kita meraikan kemenangan akidah selepas sebulan kita berpuasa pada Ramadan.

“Apa yang menyedihkan, masyarakat hari ini hanya menumpukan soal sambutan hari raya semata-mata dan mengabaikan soal ibadah puasa itu sendiri.

“Mungkin orang fikir hari raya bererti mereka perlu menukar pakaian baru semata-mata, sebenarnya ia hari di mana kita mengubah akhlak yang buruk kepada mulia,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Mohd Zawawi berkata, antara yang perlu diberi penekanan oleh stesen televisyen ialah program takbir raya.

“Takbir raya perlu disiarkan dengan lebih kerap, sebagai contoh setengah jam sekali berterusan dari masuknya solat Maghrib hingga ke solat Isya’.

“Selain itu, pihak stesen televisyen juga perlu menyajikan diskusi khusus, dokumentari raya yang menerangkan pengertian sebenar hari raya kepada penonton.

“Jika ada sekalipun diskusi sedemikian ia disiarkan pada jam 1 pagi. Seharusnya, program seperti ini disiarkan pada waktu perdana dengan menampilkan penceramah di kalangan mufti terkenal atau tokoh agama,” katanya.

Dari segi tayangan filem pula, kata Mohd Zawawi, pihak stesen televisyen perlu menayangkannya pada waktu malam bagi memberi ruang kepada penonton menziarahi keluarga dan sanak saudara. Ini bagi mengelakkan remaja kita melepak di depan kaca televisyen sehari suntuk.

“Filem atau drama yang dipaparkan juga perlu menyampaikan mesej berguna kepada masyarakat.

Sebagai contoh, mengukuhkan lagi institusi kekeluargaan di negara ini. Ia berikutan, kadar perceraian yang semakin membimbangkan di kalangan masyarakat kita hari ini,” katanya.

Pensyarah Teknologi Sistem Pengajaran, Kajian Filem Pendidikan dan Etxnografi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Profesor Madya Dr Naim Ahmad berkata, rata-rata program raya yang disajikan kepada penonton padat dengan bahan hiburan semata-mata.

“Saya tidak kata program yang dipaparkan itu tidak berkualiti cuma mesejnya yang tidak kuat.

Seharusnya, stesen televisyen berusaha menyajikan program raya yang meningkatkan keinsafan kepada penonton.

“Terlalu banyak program hiburan hingga kita terlupa saudara kita yang menderita ditimpa bencana gempa bumi di Pakistan atau mangsa bencana alam seperti tsunami.

“Adalah penting untuk kita saling ingat mengingati satu sama lain dan tidak leka dengan apa yang kita nikmati ketika ini. Sebagai contoh, stesen TV boleh menyiarkan sambutan raya mereka yang bernasib malang itu bagi meningkatkan keinsafan kepada kita,” katanya.

Sementara itu, Perunding Penyelidikan dan Pembangunan Budaya Melayu Antarabangsa, Aripin Said berkata, program raya yang ditayangkan ada nilai estetika tersendiri cuma mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat tidak jelas.

“Pada pemerhatian saya, beberapa iklan raya yang disiarkan di kaca televisyen nampak lebih jelas mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat, sebagai contoh mendidik generasi muda untuk menghormati ibu bapa mereka,” katanya. - Ramlah Zainal

ramlahzainal@hmetro.com.my

0 Comments:

Post a Comment

<< Home