Sukan dan Hiburan

Fawkner Whittelsea Uji Selangor

KUALA LUMPUR (Utusan Malaysia) - Juara Piala Malaysia musim 2005, Selangor akan menguji keupayaan apabila turun menentang kelab bola sepak Fawkner Whittelsea di Melbourne, Australia hari ini.

Pertemuan dengan kelab ternama itu di padang Persekutuan Bola Sepak Victoria kira-kira pukul 7.30 malam waktu tempatan, akan menguji keupayaan sebenar barisan Selangor bagi menghadapi musim 2005/2006.

Skuad Selangor yang turut menjuarai Piala Liga Perdana dan Piala FA tahun ini, sudah berada di Australia sejak dua hari lepas dalam sesi latihan pra-musim.

Lawatan tersebut adalah habuan yang dijanjikan oleh kerajaan negeri atas kejayaan Selangor menjulang Piala Malaysia 3 Oktober lalu.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd. Amin berkata, semua pemain musim lalu termasuk dua muka baru yang menyarung jersi Merah Kuning musim depan, Wan Rohaimi Wan Ismail dan K. Rajan turut berada dalam lawatan tersebut.

``Hanya Fuentes sahaja yang tidak dapat turut serta kerana beberapa masalah peribadi selepas dia berkahwin di Argentina.

``Tanpa Fuentes tidak menjejaskan rentak permainan Selangor yang akan menentang kelab Fawkner Whittlesea esok (hari ini),'' katanya ketika dihubungi di Melbourne, semalam.

Menurut beliau, perlawanan dengan kelab tersebut adalah ujian pertama ke atas skuad Selangor menghadapi kempen musim 2005/06.

Ujarnya, tiga lagi perlawanan persahabatan yang diatur dalam kunjungan di Melbourne dan Sydney adalah lebih tertumpu untuk mengembalikan tahap kecergasan pemain.

Katanya, soal kalah menang bukan menjadi tumpuan utama sebaliknya latihan pra-musim di Australia sehingga 20 November ini mahu melihat Selangor mantap di semua bahagian.

``Persiapan di sini (Australia) cukup rapi kerana saingan Selangor musim depan lebih hebat bersaing dalam Liga Super.

``Untuk itu, memantapkan semua posisi menjadi agenda utama jurulatih Dollah Salleh sepanjang tempoh latihan,'' katanya.

Selain mengharungi perlawanan persahabatan, kata Hamidin, barisan pemain Selangor turut menjalani latihan pagi dan petang dengan tumpuan utama diberikan kepada tahap kecergasan pemain.

Ujarnya, setakat ini segalanya berjalan lancar dengan komitmen tinggi diberikan oleh pemain sepanjang sesi latihan yang diadakan.

Beliau mengakui tugas Selangor musim depan agak sukar dalam usaha untuk mempertahankan tiga gelaran yang didakap.

Mengenai kehadiran pemain import baru yang akan diuji oleh Selangor untuk memperkuatkan bahagian pertahanan beliau berkata, belum ada pemain tersebut yang tiba di Australia.

``Ada kemungkinan pemain yang berminat bermain dengan Selangor dijangka tiba apabila kita berada di Sydney nanti,'' ujarnya.

Selangor kini memburu seorang lagi pemain import yang akan memperkuatkan bahagian pertahanan.``Keputusan seri mampu memberikan harapan tetapi bukan kekalahan seperti ini. Saya berpuas hati dengan pemain tetapi kami sepatutnya seri.'' - AFP

0 Comments:

Post a Comment

<< Home