Sukan dan Hiburan

Raihan `Terbang' Ke UK Pada Raya Kedua


PENGALAMAN menyambut Ramadan al-mubarak dan Aidilfitri di perantauan tanpa keluarga di sisi memang menyedihkan, namun tuntutan tugas membuatkan Kumpulan Raihan terpaksa mengetepikan perasaan itu. Sebelum umat Islam menyambut Ramadan, Raihan yang dianggotai Nazrey Johani, Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim berada di Russia selama dua minggu dalam konsert penjelajahan mereka.

Sekembalinya ke Malaysia, Raihan hanya sempat bersama keluarga selama seminggu sebelum berangkat ke Jakarta dan Medan, Indonesia selama dua minggu bagi memenuhi undangan persembahan dan rakaman program Ramadan serta Aidilfitri terbitan enam stesen TV popular di sana. Raihan yang baru kembali dari Indonesia kini sedang bersiap sedia untuk berangkat ke Manchester, United Kingdom (UK) pada hari raya kedua untuk menyambut Syawal bersama masyarakat Islam dan pelajar Malaysia di sana.

Nyata, Raihan sememangnya bukan satu nama yang asing apabila bercerita mengenai persembahan global mereka. Sudah banyak negara dikunjungi kumpulan nasyid itu dalam memperluaskan dakwah dan seni mereka kepada peminat.

Asia Tenggara, Timur Tengah, Eropah dan Afrika Selatan adalah antara rantau yang sudah dijelajah Raihan menerusi muzik mereka. Kini bumi Eropah sekali lagi menggamit kedatangan mereka pada Syawal ini atas undangan Islam Channel, Persatuan British Muslim Britain dan Meem Music selama 10 hari.

Kata Che Amran, Raihan akan menjelajah enam bandar utama UK iaitu Manchester, London, Edinburgh, Cardiff, Bradford dan Birmingham dalam program meraikan Aidilfitri bersama masyarakat muslim.

“Alhamdullilah, kami diundang sekali lagi ke UK tetapi kali ini kami akan berhari raya bersama masyarakat Islam selama 10 hari dalam siri penjelajahan terbaru Raihan di Eropah. “Sungguhpun berat hati meninggalkan anak, isteri dan keluarga ketika semua berhari raya, kami terpaksa berkorban demi memenuhi undangan orang dan ingin merasai suasana baru menyambut Syawal di perantauan.

“Bagaimanapun, kami akan bercuti panjang untuk meluangkan masa bersama anak, isteri dan sanak-saudara sekembali ke Malaysia nanti. Ini adalah pengalaman pertama anggota Raihan menyambut Syawal di perantauan sepanjang 10 tahun menjadi anak seni,” katanya.

Che Amran berkata, sebelum ini, Raihan pernah ke Eropah tetapi ketika itu sudah dua minggu umat Islam menyambut Syawal, jadi suasana raya tidaklah terasa berbanding kunjungan mereka pada hari raya kedua kali ini.

Sungguhpun begitu katanya, anggota Raihan akan pulang ke kampung halaman masing-masing terlebih dulu pada 1 Syawal nanti untuk melepaskan rindu. - Raja Nurfatimah Mawar Mohamed (Berita Harian)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home