Sukan dan Hiburan

Hijjaz Bantu Tambah Dana Abiedami

Oleh ABIE ABDULLAH
abie@hmetro.com.my

SUDAH lima tahun sekolah anak istimewa Abiedami di Meru, Klang berdiri. Mencurah bakti membentuk insan berkenaan berdikari dan berdepan dunia sebenar.

Biarpun tidak pernah menganggap pelajarnya membebankan, pengasasnya, Latipah Mohd Yusoff dan suaminya, Norhisham Miswan tabah berdepan cemuhan tetangga terhadap usaha murni mereka.

Bermula daripada simpati, pasangan ini mengambil keputusan untuk terus berbakti kepada 22 anak istimewa yang mendapat ‘pelajaran khas’ di sekolah itu.

Namun, Latipah mengakui bukan mudah mengendalikannya kalau tiada bantuan khusus untuk mereka terus berbakti.

Justeru, Abiedami mendapat sokongan Hijjaz Music Entertainment yang bakal mengadakan konsert amal bagi mengisi dana sekolah yang turut menjadi tempat perlindungan bagi mereka yang bermasalah.

Ruang sempit
Latipah berkata, Konsert Selangit Kasih Selaut Harapan yang akan diadakan di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, Shah Alam pada 24 Disember ini bakal dijayakan oleh Hijjaz, UNIC, Mestica dan Rabbani.

“Selama mana kami boleh bertahan dengan ruang sempit ini, sedangkan masih ramai pelajar ingin didaftarkan. Jadi kami memerlukan dana untuk mendirikan sekolah lebih selesa untuk menampung pelajar.

“Buat masa ini kami ada 22 pelajar dan 47 lagi di dalam senarai menunggu.

“Saya tidak boleh buat apa-apa kerana keadaan tidak mengizinkan,” kata Latipah pada majlis rumah terbuka Abiedami, baru-baru ini.

Latipah berkata, idea ‘membela’ anak istimewa tercetus selepas dia mendapati seorang pelajar tadikanya berperangai lain daripada kanak-kanak lain.

Selepas diselidik, rupa-rupanya dia bermasalah.

Bermula dengan itu, Latipah dan suami memfokuskan kepada penjagaan dan tunjuk ajar kepada mereka yang bermasalah dan mendapati terlalu ramai keluarga di luar sana yang ada anak seumpama itu.

Bukan saja anak istimewa, Abiedami turut dikunjungi ‘ibu tinggal’ yang bermasalah dalam rumah tangga serta remaja yang gagal berdepan kehidupan sosial semasa.

Sementara itu, penyanyi UNIC, Bazli Hazwani Che Othman, menyifatkan usaha membantu rumah amal seperti Abiedami sebagai tanggungjawab sosial sesama insan.

“Sebelum inipun UNIC dan Hijjaz pernah mengadakan persembahan amal di Terengganu bagi mengutip derma untuk pesakit Talassemia. Jadi tiada masalah untuk melakukan konsert di Shah Alam,” kata Bazli yang turut bangga dengan pencapaian album baru mereka yang kini mencecah angka 30,000 unit.

Razin Che Mud dan Khalil Khusairi Tarmizi pula daripada kumpulan Mestica juga menyokong penuh usaha mengisi tabung bagi pembinaan rumah kekal sekolah Abiedami.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home