Sukan dan Hiburan

Raihan Terus Kembara Selepas Bulan Syawal

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

ALBUM yang diterbitkan bagi menyambut kehadiran Ramadan dan Syawal itu sudah pun terjual melebihi 15,000 unit di negara ini, manakala 50,000 unit lagi jualannya dicatatkan di Indonesia - negara yang sudah begitu sinonim dengan kejayaan Raihan.

Bahkan ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Raihan di sebuah hotel di ibu kota baru-baru ini, kumpulan yang sudah pun menjual kira-kira 2.5 juta unit album itu baru saja kembali ke tanah air selepas dua minggu berada di negara terbabit.

Mereka bertolak ke Indonesia pada 12 Oktober lalu dan kembali ke ibu kota pada 25 Oktober. Sepanjang berada di sana, mereka bukan saja mengadakan persembahan dan mempromosikan album Ameen, kumpulan itu turut membuat rakaman program hari raya bersama tujuh stesen televisyen tempatan.

“Pada masa yang sama, kami juga melancarkan lapan album karaoke Raihan di negara itu, sekali gus dengan album terbaru kami, Ameen. Album karaoke terbabit sudah lama dipasarkan di Malaysia. Cuma kali ini peminat di sana dapat menyanyi menggunakan muzik alunan kami pula.

“Syukur alhamdulillah, Raihan masih mendapat tempat yang baik di kalangan peminat di Indonesia. Kami tidak pernah mereka lupakan setiap kali tibanya musim perayaan. Setiap Ramadan, Raihan pasti kembali ke negara berkenaan,” kata Che Amran.

Pengembaraan Raihan bukan terhenti setakat itu saja kerana pada raya kedua lalu, mereka berlepas ke United Kingdom (UK) pula. Selama dua belas hari di sana, Raihan terbabit dalam tiga aktiviti utama.

Pertama, muncul dalam persembahan di tujuh tempat iaitu Bradford, Manchester, Cardiff, Birmingham, Edinburgh dan London.

Persembahan yang dinamakan Eid Celebrate itu dianjurkan Persatuan Muslim Britain, Islam Channel dan Meem Music.

Aktiviti kedua yang disusun ialah acara beraya bersama pelajar Malaysia yang menuntut di London serta rakyat negara ini yang bermukim di sana. Acara itu diadakan dengan bantuan wartawan Malaysia di London, Haliza Hashim.

Akhir sekali, mengadakan penggambaran klip video untuk lagu nasyid rap Do You Know Him? yang dinyanyikan bersama kumpulan rap London, Mecca 2 Medina (M2M).

Kesibukan jadual Raihan akan berterusan pada tahun depan. Penjelajahan mereka juga akan diteruskan ke luar negara pada 2006.

Bahkan, bilangannya mencecah ke 17 negara, termasuk beberapa destinasi baru yang belum pernah dijejak.

Negara yang bakal dikunjungi Raihan dalam memenuhi undangan tahun depan ialah Indonesia, Thailand, Hong Kong, Australia, Emiriyah Arab Bersatu, Mesir, Turki, Afrika Selatan, Perancis, Jerman, Russia, Sweden, UK, Ireland, Kanada, Amerika Syarikat dan Trinidad and Tobago.

Sementara itu, pada majlis berbuka puasa itu, Raihan melalui kelab peminat mereka melancarkan projek Program Keusahawanan Raihan, usaha yang dijalankan secara bersama Suria Network Management (SNM).

Projek itu menyaksikan usaha Raihan mengumpul peminat mereka untuk terjun ke dunia keusahawanan.

“Sebagaimana yang kita tahu, ramai lepasan universiti yang menganggur dan perkara ini tidak harus dibiarkan. Justeru, kami dengan kerjasama SNM mengatur program ini bagi melatih dan membimbing anggota kelab untuk maju di bidang keusahawanan.

Di samping kursus motivasi percuma oleh pakar motivasi Dr Fadzilah Kamsah, anggota berdaftar juga boleh memilih produk pengurusan udara dan aromaterapi keluaran SNM untuk diniagakan.

Raihan juga, dengan kerjasama Propertime, memasarkan jam Takwim Digital Solat. Setiap kali tiba waktu solat, pemilik jam berkenaan akan mendengar laungan gemersik azan oleh vokalis utama Raihan, Nazrey.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home