Sukan dan Hiburan

Norizan Beri Harapan


Oleh Kamarulzaman Pid

“KITA sudah bersedia ke Manila,” kata jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Norizan Bakar, selepas menyaksikan anak buahnya mengikat pasukan bawah 23 tahun Singapura 1-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Singapura, petang semalam.

Norizan nyata gembira dengan aksi bertenaga yang dipamerkan barisan bimbingannya yang berjaya menamatkan badi kemarau jaringan ketika beraksi dalam tiga perlawanan di kejohanan Piala Agribank di Vietnam, baru-baru ini.

“Apa yang paling penting sekali ialah kita berjaya mencipta banyak peluang dan kita juga berjaya menjaringkan gol,” katanya kepada Arena Metro ketika dihubungi malam tadi.

Bekas jurulatih yang membawa Perlis menamatkan kemarau Piala Malaysia selama 83 tahun itu turut lega selepas menyaksikan setiap arahan yang diberikannya ketika sesi latihan di tanah air diikuti sepenuhnya pemain negara.

“Saya begitu gembira apabila dari segi persefahaman mereka sudah menunjukkan peningkatan dan ini menunjukkan kita sudah bersedia bagi perlawanan pembuka tirai menentang Kemboja di Sukan Sea Manila, 21 November ini.

“Mereka juga menunjukkan persefahaman yang tinggi dari segi taktikal hasil latihan pesat yang kita jalankan sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, Norizan berkata, tempoh kira-kira seminggu lagi sebelum aksi di Bacolod City nanti digunakan sepenuhnya membaiki beberapa kelemahan.

“Ini adalah masa terpenting bagi saya untuk membetulkan kesilapan yang dilakukan pemain tetapi saya percaya semua masalah ini dapat diselesaikan sebelum perlawanan pertama itu nanti,” katanya.

Dalam perlawanan itu, skuad bawah 23 tahun Singapura yang dibimbing Malek Awab berjaya memecah kebuntuan menerusi jaringan pada minit ke-13 menerusi Ashrin Samad.

Ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama tidak mematahkan semangat anak buah Norizan apabila mereka terus mengasak kubu Singapura dan hasilnya pemain Sabah, Ronny Harun, berjaya menjaringkan gol menerusi rembatan voli padu pada minit ke-58.

Persembahan bertenaga skuad negara turut mendapat pujian Malek yang terkejut dengan aksi yang ditunjukkan Fadzli Saari dan rakan-rakannya.

“Prestasi pasukan Malaysia bertambah baik daripada apa yang saksikan kali terakhir ketika di Bangkok beberapa bulan lalu.

“Persembahan yang dipamerkan menunjukkan mereka mempunyai prospek merangkul pingat di Manila nanti tetapi terlebih dulu perlu membaiki ketajaman di bahagian serangan,” katanya.

Di Bacolod City nanti, skuad bawah 23 tahun negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama penyandang juara, Thailand, tuan rumah Filipina dan Kemboja, sementara Singapura berada dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Vietnam dan Myanmar. - Harian Metro

0 Comments:

Post a Comment

<< Home