Sukan dan Hiburan

Chong Wei Juara GP Akhir

Oleh Lukman Salleh (Berita Harian)

LEE Chong Wei meneruskan penguasaan menakjubkannya dalam sirkit kebangsaan apabila menjulang kejuaraan keempat berturut-turut Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Akhir Kebangsaan menewaskan pemain veteran Wong Choong Hann 15-8, 15-6 dalam final di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, semalam.

Kemenangan mudah dalam tempoh 45 minit itu melebarkan rekod tanpa kalahnya dalam jelalah tempatan kepada tiga tahun sejak 2002 dan menobatkan Chong Wei selaku selaku raja sirkit kebangsaan serta mencipta rekod muncul pemain pertama meraih kejuaraan empat kali berturut-turut dalam sejarah kejohanan.

Menggabungkan smash kencang dan refleks menakjubkan, Chong Wei tidak berdepan masalah mengatasi Choong Hann untuk melebarkan rekod tanpa kalahnya ke atas bekas pemain nombor satu kebangsaan kepada empat perlawanan.

"Saya meletakkan sasaran tinggi dalam kejohanan ini dan gembira memenanginya gelaran buat kali keempat berturut-turut," kata Chong Wei, yang membawa pulang hadiah kemenangan RM7,000. "Saya dapat mengawal permainan dengan baik, menggunakan smash untuk memerangkap Choong Hann.

Kemenangan ini sekali gus menunjukkan jurang wujud antara Chong Wei dengan pemain kebangsaan lain - melainkan Hafiz Hashim - seperti Choong Hann, Roslin Hashim dan Kuan Beng Hong.

"Mungkin ada jurang sedikit antara saya dengan pemain kebangsaan yang lain tetapi masih ada Hafiz, pemain yang boleh memberikan cabaran kepada saya dan malang sekali dia tidak beraksi dalam kejohanan kali ini," kata Chong Wei.

Sementara Choong Hann mengakui Chong Wei sudah berhasil mencapai konsistensi dalam permainannya dan kejohanan tempatan dan antarabangsa dan sukar untuk menggugat atau menewaskan pemain itu.

"Dia bermain cukup baik dan begitu pantas," kata Choong Hann, yang meraih RM3,600 untuk naib juara.

Dalam beregu lelaki gandingan Lin Woon Fui-Mohd Fairuzizuan Tazari mengejutkan juara bertahan Chan Chong Ming-Koo Kien Keat 15-9, 15-11 untuk membawa pulang hadiah kemenangan RM11,000.

Dalam perseorangan wanita, Julia Wong dari Melaka mengejutkan juara bertahan Anita Raj Kaur dari Kuala Lumpur 11-2, 11-6 untuk membawa pulang hadiah kemenangan RM4,000 dan gelaran GP pertamanya.

Beregu wanita menyaksikan Ooi Sock Ai-Mooi Hing Yau dari Perak menang percuma ke atas juara bertahan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty selepas Eei Hui terpaksa menarik diri kerana demam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home