Sukan dan Hiburan

Ansar saluran TV Islam pertama Malaysia

Oleh ABD. AZIZ ITAR

PERKEMBANGAN pesat dunia penyiaran di negara ini dapat dilihat dengan kemunculan pelbagai saluran televisyen (TV) yang kebanyakannya menyiarkan rancangan-rancangan berbentuk maklumat dan hiburan semata-mata.

Syarikat ICO Resources Sdn. Bhd. bagaimanapun menongkah arus apabila ia menubuhkan sebuah saluran TV berbayar tempatan pertama iaitu Ansar yang berkonsep dan bercirikan keislaman.

Menurut Pengarah Urusannya, Nazir Idris, ICO Resources memulakan inisiatif itu bagi merebut peluang mengembangkan lagi syiar Islam hasil kepesatan dunia penyiaran tempatan sejak kebelakangan ini.

"Kami rasa inilah masa yang sesuai untuk menyajikan kelainan kepada para penonton. Pada masa yang sama saluran seperti ini boleh memberi kefahaman yang luas kepada para penonton tentang gaya kehidupan Muslim.

"Ansar sama seperti program TV lain yang mempunyai segmen hiburan, remaja, filem, dokumentari dan sebagainya.

"Cuma bezanya ialah semua program kami berorientasikan ciri-ciri yang ada dalam kehidupan seharian orang Islam.

"Jika hiburan, ia mestilah yang bercirikan keislaman. Begitu juga dengan fesyen dan gaya kehidupan yang dipaparkan, ia tidak menyimpang daripada ajaran Islam.

"Secara tidak langsung penonton bukan Islam juga dapat melihat contoh-contoh baik agama Islam menerusi program-program yang kami siarkan,'' katanya sewaktu ditemui pada majlis Rumah Terbuka anjuran stesen TV MiTV dan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.

Saluran Ansar yang beroperasi 24 jam sehari mulai 5 September lalu disiarkan menerusi saluran kabel TV berbayar MiTV.

Menurut Nazir, sejak bersiaran tiga bulan lalu, Ansar banyak menayangkan produk-produk yang diterbitkan sendiri.

"Sebanyak 80 peratus program yang disiarkan menerusi saluran Ansar adalah program tempatan dan selebihnya merupakan program yang diimport.

"Pada tahun depan kami merancang mengimport 40 peratus program-program TV dari luar negara antaranya dari Iran, Arab Saudi dan Indonesia.

"Saya percaya program-program itu akan meluaskan lagi pengetahuan penonton tentang perkembangan yang berlaku di negara-negara Islam lain,'' ujar Nazir yang merupakan adik kepada anggota kumpulan Raihan, Che Amran.

Pada majlis itu MiTV, Ansar dan WHAM turut meraikan sekumpulan anak-anak yatim dari Pondok Penyayang Raudhah, Gombak, Selangor.

MiTV tidak ketinggalan menyumbangkan RM3,000 kepada WHAM bagi mengisi tabung kebajikan persatuan tersebut. Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi MiTV, Datuk Rosman Ridzwan kepada Presiden WHAM, Fauziah Rauf.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home