Sukan dan Hiburan

Baik Punya Cilok kutip RM1 juta dalam seminggu

Oleh KHADIJAH IBRAHIM (Utusan Malaysia)

DALAM tempoh seminggu sahaja filem Baik Punya Cilok arahan Afdlin Shauki berjaya mencecah kutipan RM1 juta. Filem terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd. (TUSB) itu mula ditayangkan kepada umum sejak 22 Disember lalu di 30 pawagam di seluruh negara.

Menurut Eksekutif Pemasaran Tayangan Unggul, Wan Mohd Shazly (Amir), setiap hari pihak pawagam menayangkan enam slot filem berkenaan dan setiap tayangan sentiasa dipenuhi penonton.

“Pengurusan pawagam memaklumkan bahawa panggung sentiasa penuh bila Baik Punya Cilok ditayangkan biarpun pada hari biasa.

“Kehadiran penonton di luar dugaan itu memberi semangat kepada kami untuk terus mempromosi Baik Punya Cilok,’’ katanya ketika ditemui di pawagam TGV, Jaya Jusco, Bukit Raja, Klang.

Melihatkan kepada sokongan padu daripada peminat-peminat filem tempatan, TUSB menyasarkan dalam tempoh musim cuti sekolah ini kutipan akan meningkat lagi sehingga RM2.5 juta.

Pada tahun ini filem terbitan TUSB yang berjaya mengaut kutipan paling tinggi ialah Gangster sebanyak RM2.8 juta.

Sebagai tanda terima kasih kepada para peminat yang sentiasa memberi sokongan terhadap Baik Punya Cilok, TUSB membawa pelakon ke pawagam bagi mengejutkan penonton.

Kehadiran Awie, AC Mizal dan Nadia Mustafar di Jaya Jusco, Bukit Raja, Klang menggamatkan pawagam sebaik sahaja filem tamat dan lampu dipasang.

Kehadiran mereka bukan sekadar beramah mesra dengan peminat malah beberapa penonton bertuah turut menerima cenderamata daripada para pelakon itu.

Selain itu ketiga-tiga mereka turut menandatangani autograf untuk peminat-peminat di luar pawagam.

Awie tidak yakin

Awie yang merupakan salah seorang pelakon utama filem itu berkata, pada awalnya dia tidak yakin untuk terima tawaran daripada Afdlin yang mahukan dia memegang watak Bob, seorang kaki pukul.

Bagaimanapun, setelah berbincang dan Afdlin meyakinkan bahawa dia mampu membawa watak komedi, akhirnya Awie terima.

“Setiap adegan yang dilakonkan saya berbincang terlebih dahulu dengan Afdlin dan hasilnya adalah apa yang anda semua tengok sekarang. Afdlin ambil saya berlakon sebab dia tengok karakter itu sesuai dengan diri saya dan bukan dia main-main ambil saja.

“Jika Afdlin ajak saya berlakon lagi filem komedi, saya tidak akan tolak kerana saya sudah dapat rasa ada keserasian antara kami. Begitu juga dengan rakan-rakan lain. Sampai sekarang hubungan kami akrab,’’ katanya.

Selain Baik Punya Cilok, Awie akan muncul dalam sebuah lagi filem komedi iaitu Zombie Kampung Pisang arahan Mamat Khalid.

Jelas Awie, dia sendiri tidak percaya watak Bob dapat membuat penonton ketawa.

“Sekarang ini bila peminat-peminat bertemu dengan saya mereka melahirkan rasa seronok tengok saya berlakon Baik Punya Cilok,” kata Awie.

Menurut Awie, kata-kata daripada peminat itu memberinya keyakinan dan semangat untuk dia terus berlakon.

Selain mempromosi Baik Punya Cilok, Awie tetap tidak lupa mempromosikan album terbarunya, Santai.

AC Mizal sentiasa ketawa

Sementara itu AC Mizal ditanya adegan manakah dalam Baik Punya Cilok yang membuat hatinya tersentuh.

Sambil berfikir sejenak, AC Mizal yang ditemani isterinya, Emylia Rosnaida, berkata tiada satu adegan pun dalam Baik Punya Cilok yang boleh menyentuh hatinya. Ini kerana sejak penggambaran filem itu sehinggalah promosi dia sentiasa ketawa terutamanya bila berjumpa dengan Awie, Afdlin atau Hans Isaac.

“Macam mana nak sedih sebab semua adegan dalam filem itu pada saya amat melucukan. Pada saya filem tanpa heroin ini seperti juga filem-filem lakonan P. Ramlee yang menonjolkan pelakon lelaki sahaja,’’ katanya terus terang.

AC Mizal yang berlakon sebagai Wak, seorang kaki pancing, berkata Baik Punya Cilok mendapat sambutan daripada penonton kerana setiap pelakon filem itu mempunyai peminat mereka sendiri.

Selain Baik Punya Cilok, AC bakal berlakon dalam teater muzikal Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) sebagai Raja Majapahit, Gusti Adipati Handaya Ningrat Adi Pati, pada Februari ini.

“PGLM adalah teater pertama saya. Terima kasih kepada Tiara yang memberi kepercayaan kepada saya,’’ katanya.

AC juga akan muncul dalam filem Cicakman, Zombie Kampung Pisang, Buli Balik dan Diva.

Nadia jadi penyeri

Meskipun watak Nadia sebagai Nazatul, isteri kepada Wak, tidak banyak tapi dia tidak kisah turut serta dalam rangkaian promosi Baik Punya Cilok.

Kata Nadia, dia hanya muncul dalam enam adegan filem itu namun dia gembira berpeluang berlakon dengan pelakon-pelakon yang sering menghiburkan hatinya.

“Sejak di lokasi sehinggalah sekarang, kalau bertemu dengan mereka (Afdlin, Awie atau AC Mizal) pasti kami akan gelak memanjang. Nadia paling suka bila tengok adegan abang Awie ajar abang Harun Salim Bachik bersenam. Macam nak pecah perut tengok adegan itu,’’ katanya sambil ketawa.

Nadia yang baru pandai bercakap Minang gara-gara berlakon dalam drama bersiri Nun Di sana Cintaku arahan Nurhalim Ismail berkata untuk membawa watak wanita Minang dia mengikuti kelas bahasa tersebut selama tiga hari.

“Sebelum pergi penggambaran di Bukit Tinggi, Sumatera, Nadia belajar bahasa Minang selama tiga hari di bawah bimbingan seorang guru. Di Sumatera juga ada seorang guru memberi tunjuk ajar kepada Nadia.

“Ada yang ingat Nadia tahu bahasa itu sebelum ini. Pada hal Nadia baru sahaja belajar. Sekarang ini Nadia asyik nak bercakap Minang sahaja,’’ katanya yang turut ditemani penyanyi Ieda Moin.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home